MASJID di Semenanjung Gaza dibuka semula pada Rabu selepas ditutup selama 70 hari kerana koronavirus, dengan seorang jemaah meluahkan kegembiraan walaupun tidak menafikan bimbang dengan wabak tersebut.
Memakai topeng muka hitam, seorang imam di Kota Gaza mengetuai azan ketika masjid dibuka di seluruh kawasan Palestin dengan langkah kesihatan.
Para jemaah diarah memakai topeng muka di dalam masjid, yang akan selalu dibasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga, kata kementerian hal ehwal agama Gaza.
Kanak-kanak dan orang sakit dinasihatkan tidak hadir untuk bersolat.
Di Kota Gaza, jemaah Khader Mussa berkata “sangat gembira” menghadiri solat subuh tetapi juga berhati-hati bagi melindungi kesihatannya.
“Saya sampai di sana dua minit sebelum solat bermula untuk mengelakkan kontak dengan jemaah lain dan balik selepas selesai, tanpa bersalaman dengan sesiapa pun,” kata lelaki berusia 40 tahun itu kepada AFP.
Semenanjung itu mencatatkan sekitar 60 kes koronavirus dan satu kematian, semuanya melibatkan warga Gaza yang kembali dan dikuarantin semasa ketibaan.
Setelah virus pertama kali dikesan pada 22 Mac, masjid, restoran dan universiti ditutup.
Beberapa masjid dibuka 10 hari lalu sempena Aidilfitri, bagi menyambut tamatnya bulan suci Ramadan, tetapi Rabu secara rasminya ia dibuka semula.
“Kami gembira masjid sudah dibuka,” kata Muhammad Hamad, yang memakai topeng muka.
“Kami berterima kasih kepada Tuhan, yang melindungi kami daripada koronavirus di Semenanjung Gaza,” tambahnya.
PBB memberi amaran wabak Covid-19 di Gaza boleh menjadi bencana, memandangkan kepadatan penduduk, kadar kemiskinan yang tinggi dan sistem kesihatan yang lemah.
Israel meletakkan Gaza di bawah sekatan yang melumpuhkan sejak 2007, sebagai sebahagian daripada penentangannya terhadap gerakan Islam Hamas, yang memerintah semenanjung tersebut.
Hamas adalah saingan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Tepi Barat yang diduduki, dan kesannya, terdapat pendekatan berbeza terhadap pandemik di wilayah Palestin yang terpisah.
PA mengenakan perintah darurat pada Mac selepas munculnya koronavirus di kota Bethlehem, Tepi Barat, yang kemudian melanjutkannya pada Rabu.
“Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan keputusan melanjutkan perintah darurat selama 30 hari lagi mulai 4 Jun di tengah wabak koronavirus di wilayah yang diduduki,” kata agensi berita rasmi WAFA.
Masjid, kedai dan restoran dibuka semula di Tebing Barat dan lanjutan itu “tidak melibatkan penutupan”, kata jurucakap kerajaan Ibrahim Melhem di Twitter.
Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh memberi amaran sekatan boleh dilaksanakan sekiranya terdapat lonjakan kes Covid-19.
Menurut perkiraan rasmi, 390 orang diuji positif koronavirus di Tebing Barat dengan dua kematian. – AFP, 4 Jun, 2020.
Komen