HANYA 15% pekerja di Malaysia membayar cukai pendapatan daripada keseluruhan 14.6 juta pekerja yang ada di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Othman Aziz.
“Walaupun kita ada jumlah tenaga buruh berdaftar 14.6 juta, tapi yang bayar cukai hanya 2.27 juta,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, berdasarkan data 2016, daripada 14.6 juta tenaga buruh itu, yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mempunyai fail cukai pendapatan ialah 12.2 juta orang.
“Yang aktif walaupun ada fail tapi bayar cukai adalah sebanyak 6.9 juta, kemudian daripada 6.9 juta ini yang membayar cukai hanya 2.27 juta.”
Othman menambah jumlah syarikat yang membayar cukai juga kecil dengan hanya 168,244 syarikat membayar cukai, atau 14% daripada 1.2 juta syarikat yang berfaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Jadi nampak sangat seperti juga cukai individu tadi, peratusannya memang rendah, maksudnya saya rasa kerajaan ambil langkah perkenalkan cukai pengguna GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) ini, supaya siapa yang guna barang kena GST, bayar lah portion itu”.
Othman juga memberitahu Dewan Rakyat, mulai tahun depan hanya pekerja yang bergaji RM3,100 ke atas sahaja akan dikenakan cukai berbanding RM2,851 ke atas sebelum ini.
Perubahan ini adalah selepas Putrajaya mengambil langkah mengurangkan 2% tahap potongan cukai bulanan (PCB) yang diumumkan dalam Bajet 2018, yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
Timbalan Menteri Kewangan I Othman Aziz berkata, langkah mengurangkan dua peratus daripada lima peratus menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
“Maksudnya sekarang, bawah RM3,000 tak perlu bayar cukai, jadi dengan pengurangan daripada lima peratus kepada dua peratus ini, ia akan meringankan lebih bebanan rakyat, itu maksudnya,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen