PENDUDUK di Kuala Langat yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan secara pentadbiran berharap barangan keperluan dan bekalan makanan mencukupi untuk lebih 9,000 keluarga di situ.
Penduduk yang dihubungi berkata walaupun mereka dibenarkan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan, mereka bimbang sekiranya situasi bertambah buruk.
“Setakat hari ini, kami masih boleh ke kedai berhampiran tetapi kami perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang mengawal pusat pemeriksaan.
“Jika awak hendak pergi kedai beli barang mereka akan benarkan keluar, jika awak hanya keluar berjalan-jalan mereka akan minta awak duduk di rumah.
“Saya harap bekalan makanan mencukupi kerana hanya satu kedai runcit sahaja dibenarkan buka,” kata Amira dari Bukit Changgong.
Amira tinggal bersama keluarganya di Taman Langat Utama sejak lebih 10 tahun lalu.
Amira memberitahu The Malaysian Insight yang pihak berkuasa sedang menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di kawasan itu.
“Selepas ujian kami diminta terus pulang ke rumah,” tambahnya.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan PKPP di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Bukit Changgang, Kuala Langat berkuatkuasa sejak malam tadi, tetapi memberi jaminan penduduk kawasan itu masih boleh keluar masuk untuk membeli barangan keperluan. – 3 Jun, 2020.
Komen