KERAJAAN negeri akan melaksanakan solat Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) di lapan masjid bermula Jumaat ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Beliau berkata solat Jumaat itu melibatkan lapan masjid yang telah ditetapkan dan hanya ahli jemaah yang membuat pendaftaran serta mempunyai kod QR dibenarkan masuk ke masjid untuk solat Jumaat.
Bilangan jemaah pula bergantung kepada keluasan setiap masjid yang terlibat, katanya.
Lapan masjid itu ialah Masjid Negeri, Masjid At-Taqwa Kampung Paroi, Masjid Kariah Paroi Jaya dan Masjid Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat di Seremban; manakala masing-masing satu masjid di Jelebu iaitu Masjid Kariah Bunga Tanjung, Kuala Klawang; Port Dickson di Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Sijang; Jempol di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol; dan Tampin di Masjid Jamek Gemas.
“Solat Jumaat ini adalah sebagai percubaan bagi melihat kepatuhan terhadap SOP MKN seperti penjarakan sosial dan yang berkaitan sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.
Beliau berkata jemaah yang ingin hadir perlu mempunyai kod QR yang boleh didapati dan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selepas membuat permohonan secara dalam talian.
Jemaah akan diminta menunjukkan kod QR di pintu masuk masjid sama ada menerusi telefon bimbit atau salinan kepada pegawai masjid yang bertugas sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.
Aminuddin berkata mengikut SOP yang ditetapkan, setiap jemaah perlu membawa sejadah sendiri selain tidak dibenarkan mengambil wuduk di masjid dan mereka juga perlu datang awal kerana pintu masjid akan ditutup sebaik muazzin melaungkan azan.
“Jemaah yang hadir tidak dibenarkan bersalaman serta tidak dibenarkan memilih kedudukan saf mereka sebaliknya pegawai masjid yang akan menentukan kedudukan setiap jemaah. Hanya mereka yang sihat dan berusia 20 hingga 60 tahun dibenar hadir,” katanya.
Beliau berkata jemaah juga diminta meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan masjid bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Selesai solat, tiada bacaan doa akan dibuat dan jemaah diminta beredar terus dan pulang ke rumah masing-masing. Percubaan ini kalau berjaya kita akan sambung tetapi kalau tidak berjaya kita tidak akan teruskan,” katanya. – Bernama, 3 Jun, 2020.
Komen