Kes Covid-19 di Indonesia cecah 28,000


Anggota bomba yang memakai pakaian pelindung diri menyembur cecair nyah kuman sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran Covid-19 di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. – Gambar EPA, 3 Jun, 2020.

KES positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 28,233 kes dengan angka korban akibat pandemik itu kini berjumlah 1,698 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 684 tambahan kes positif baharu, manakala sebanyak 35 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Seramai 13,285 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 523 kes, diikuti Jawa Timur (429 kes), Jawa Barat (154) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama, 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen