KERAJAAN menjamin sejumlah RM217.37 bilion hutang sehingga 30 Jun 2017, kata Putrajaya hari ini.
Menteri Kewangan Najib Razak berkata, hutang berkenaan adalah daripada 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan empat badan berkanun.
“Projek berkenaan adalah bagi memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan yang terbahagi kepada sektor pendidikan, perkhidmatan, infrastruktur, kewangan, pegangan pelaburan, dan utiliti,” kata Najib yang juga perdana menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Najib menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah tanggungan “contingency liability” oleh Putrajaya.
Najib berkata hutang kerajaan Persekutuan sehingga hujung Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion.
Katanya, jumlah itu adalah 50.9% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjawab pertanyaan Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah hutang negara terkini dan nisbahnya kepada KDNK negara.
Fauzi juga meminta jawapan berkenaan jumlah hutang dan kali terakhir Malaysia membayar hutang pokok.
“Sementara 3.3% atau RM22.7 bilion lagi adalah hutang luar pesisir (1.7% daripada KDNK).
Beliau berkata, bagi 2017 pinjaman kasar kerajaan adalah RM108 bilion dengan bayaran balik pokok adalah RM67.2 bilion manakala pinjaman bagi membiayai defisit adalah RM39.9 bilion.
Katanya, kerajaan sentiasa memastikan bayaran pokok dan faedah sentiasa dibuat dalam keadaan teratur berdasarkan jadual pembayaran.
“Sehingga kini kerajaan tidak pernah gagal dalam membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan,” kata Najib. – 29 November, 2017.
Komen