SERAMAI 11,606 guru yang memohon untuk berpindah sekolah untuk bersama pasangan masing-masing diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Putrajaya hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II Chong Sin Woon berkata, KPM sentiasa berusaha memastikan isu guru duka lara dapat diselesaikan.
“Bermula 1 Januari 2016 sehingga 1 Januari 2018, seramai 11,606 calon duka lara telah berjaya dipindahkan mengikut pasangan masing-masing.
“Kriteria utama yang diberi perhatian dalam meluluskan permohonan pertukaran guru duka lara ini ialah kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon,” kata Chong di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Tiong King Sing (BN-Bintulu).
Tiong bertanyakan kepada menteri pendidikan berapakah jumlah guru-guru yang berkhidmat jauh dari keluarga telah berjaya disatukan kembali dan apakah kriteria utama yang diambil perhatian oleh KPM.
Chong menambah, isu guru duka lara akan terus wujud kerana urusan perpindahan tempat kerja oleh pasangan guru atau guru-guru baharu yang berkahwin sentiasa berlaku sepanjang tahun. – 29 November, 2017.
Komen