NAJIB Razak benar-benar percaya dana yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2014 adalah sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, kata peguamnya pada semasa penutupan bicara SRC International hari ini.
Bekas perdana menteri itu berdepan tujuh tuduhan jenayah kerana menerima dana SRC International sebanyak RM42 juta antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Tertuduh berusia 66 tahun mengakui dalam keterangannya pada Disember, tahun lalu yang wang itu dibelanjakan untuk aktiviti politik dan program sosial korporat.
Semasa penghujahan lisan hari ini, peguam bela Harvindejit Singh berkata anak guamnya percaya wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan diberi kepadanya oleh Raja Arab Saudi, seperti yang dilakukan setiap tahun selama tiga tahun antara 2011 hingga 2013.
Najib sebelum ini memberi keterangan yang AS$1.05 bilion (RM3.2 bilion ketika itu) diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank peribadinya melalui Tanore Finance Corp.
Harvinderjit berhujah hari ini yang Najib bukan sahaja tidak tahu RM42 juta berasal daripada SRC International, tetapi dapat disimpulkan Najib percaya bahawa wang itu berasal dari Arab Saudi kerana “ada tanda-tanda sumbangan Arab Saudi akan dilakukan.”
Peguam itu selanjutnya berpendapat kepercayaan Najib diperkuatkan lagi oleh pengaruh perantara 1Malaysia Development Bhd, Low Taek Jho dengan keluarga diraja Arab Saudi.
Harvinderjit berkata kesimpulan lebih lanjut berkenaan sumbangan itu juga susulan surat yang dikeluarkan oleh setiausaha peribadinya Allahyarham, Azlin Alias, yang ditulis pada pertengahan 2014 oleh utusan Raja Abdullah yang berkata sumbangan seterusnya, melebihi AS$800 juta yang dibuat awal 2013, akan diterima tidak lama lagi.
Harvinderjit berkata tidak menjadi masalah sama ada sumbangan Arab Saudi itu terbukti benar atau tidak, kerana inti kesnya adalah sama ada Najib mempercayainya dan bertindak dengan niat baik. – 3 Jun, 2020.
Berita penuh di sini
Komen