PIHAK berkuasa mesti menyiasat majikan yang gagal melindungi kakitangan barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19 daripada menganggu dan menangkap kerana membangkitkan rungutan mereka, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Beliau merujuk kepada penangkapan lima individu semalam kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa tunjuk perasaan.
Tunjuk perasaan itu diadakan oleh anggota Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidatan Bersekutu (NUWHSAS), yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja pembersihan hospital, di depan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Para penunjuk perasaan yang merupakan pekerja UEM Edgenta Berhad adalah penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, antara lain, untuk hospital kerajaan, ingin menarik perhatian berhubung isu berkaitan kakitangan pembersih hospital, termasuk kekurangan alat pelindung terhadap jangkitan, seperti virus Covid-19.
Tiga anggota PSM yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu, dan dua pegawai NUWHSAS ditangkap.
“Pihak berkuasa mesti menyiasat syarikat berkenaan dakwaan gangguan yang dihadapi oleh pekerja.
“Menahan wanita dan lelaki yang bekerja keras, terutama daripada komuniti lemah yang sudah sedia bergelut. Ini adalah pekerja yang bekerja dengan gaji minimum dan hampir tidak tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk bertahan hidup.
“Polis mesti membebaskan semua tahanan dan menggugurkan semua tuduhan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan terhadap pekerja ini tidak adil dan kejam, dan menunjukkan kurangnya rasa hormat dan perhatian oleh majikan terhadap mereka yang sudah mempertaruhkan nyawa setiap hari untuk melindungi orang lain daripada Covid-19.
Dalam satu kenyataan semalam, UEM Edgenta yang disenaraikan awam berkata pihaknya sudah melaksanakan langkah keselamatan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pekerjanya sepanjang pandemik Covid-19.
“Sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab korporat syarikat bersama pemegang taruh utama, UEM Edgenta menyediakan pelbagai saluran komunikasi untuk pekerja bagi menggalakkan komunikasi yang berkesan.
“Syarikat komited menyelesaikan masalah dalaman yang memberi kesan kepada pekerja menerusi pendekatan secara aman, dengan turut melibatkan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Buruh sekiranya diperlukann,” kata kenyataan itu.
Pada Mac, pekerja pembersihan hospital di Hospital Teluk Intan mengadakan demonstrasi serupa terhadap UEM Edgenta. – 3 Jun, 2020.
Komen