Ahli Parlimen BN cadang pesalah seksual "dicucuk" besi panas


Amin Iskandar

Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) berkata, apabila seseorang dicabul, dendam keluarganya akan berterusan selagi tiada pembalasan setimpal kepada pesalah seksual. Sejak Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak diwartakan 10 Julai lepas, sebanyak 36 kes sudah disabitkan kesalahan. – Gambar AFP, 29 November, 2017.

SEORANG ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencadangkan agar pesalah-pesalah seksual “dicucuk” dengan besi panas agar mereka dapat merasai penderitaan mangsa.

Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) berkata, apabila seseorang dicabul, dendam keluarganya akan berterusan selagi tiada pembalasan setimpal kepada pesalah seksual.

“Saya mencadang, lelaki yang mengerjakan ini kita bakar satu besi panas dan cucuk kepada dia, supaya dia berasa bagaimana sedihnya perasaan orang yang terkena perkara begini,” kata Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

“Apabila kanak-kanak ini dicabul oleh bapa, bapa saudara, keseluruhan keluarga dia tertekan dan begitu adik beradik mangsa akan ditekan”. 

Sebelum itu Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) meminta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyatakan bentuk perlindungan dan kebajikan yang diberikan kepada mangsa jenayah seksual kanak-kanak dan keluarganya selepas pesalah yang menjadi tempat bergantung dijatuhkan hukuman.  

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azizah Mohd Dun bagaimanapun tidak menjawab cadangan Ahmad itu.

“Bagaimana kita nak menghindarkan dendam keluarga kepada pemangsa yang buat perkara tak senonoh kepada anak saudara dia?

“Kita hendak balas kepada (pesalah) (kerana memperlakukan) mangsa (dengan) begitu kejam,” kata Ahmad. 

Sejak Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak diwartakan 10 Julai lepas, sebanyak 36 kes sudah disabitkan kesalahan. – 29 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen