Topeng muka, sesi pendek, kelas kecil antara peraturan baharu sekolah


Sheridan Mahavera

Garis panduan dan SOP dirangka bagi memastikan pelajar, guru dan kakitangan sekolah mematuhi PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

MENGURANGKAN sesi persekolahan dan jumlah pelajar dalam kelas merupakan antara peraturan baharu yang dirangka oleh kesatuan guru bagi membantu guru mengekalkan jarak fizikal apabila sekolah dibuka semula.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memberitahu The Malaysian Insight, garis panduan yang dirangka selepas kajian dijalankan melibatkan guru dan ahli akademik, akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan untuk dipertimbangkan.

Ia bagi membantu guru besar dan pengetua menyusun pergerakan guru, kakitangan dan pelajar pada sesi persekolahan bagi mengelakkan perhimpunan dan kontak fizikal, kata Presiden NUTP Amiruddin Awang.

Prosedur operasi standard (SOP) juga melibatkan pedagogi atau kaedah pembelajaran yang diubah mengikut kelaziman baharu, yang mana interaksi bersemuka akan dikurangkan, katanya.

“Kita masih tiada SOP komprehensif untuk semua sekolah kerana kita mahsih menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan,” kata Amiruddin kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi kami telah menyusun beberapa prinsip dan peraturan asas yang harus dipatuhi oleh semua guru dan pentadbir sehingga kami dapat memastikan ada jarak fizikal antara pelajar, staf dan guru.

“Tetapi untuk benar-benar memastikan ia berjalan lancar, kita juga harus mendapatkan kerjasama dan komitmen ibu bapa.”

Sebagai contoh, sekiranya sebuah bilik darjah mempunyai 30 orang murid, mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 15 orang yang kemudian bergilir datang ke sekolah, kata Amiruddin.

“Ini untuk memastikan bahawa jarak meja minimum satu meter. Satu kumpulan akan datang ke sekolah dan kumpulan yang lain akan mendapat tugasan dan pelajaran mereka secara dalam talian di rumah.

“Kemudian dalam tiga hari atau minggu berikutnya, kumpulan lain kembali ke sekolah sementara kumpulan sebelumnya tinggal di rumah.

“Mengenai penggiliran pelajar, kita akan serahkan kepada setiap sekolah. Beberapa sekolah boleh bergilir tiga hari sekali sementara yang lain lebih suka bergilir seminggu sekali.”

Cadangan lain adalah agar semua murid, guru dan kakitangan memakai topeng muka dan sinki tambahan diletakkan secara strategik di sekitar blok
bilik darjah untuk menggalakkan mencuci tangan secara berkala.

Sesi persekolahan harian akan dipendekkan kepada empat jam dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sementara jumlah mata pelajaran yang diajar setiap hari akan dikurangkan pada empat.

Aktiviti kumpulan akan diganti dengan tugasan individu supaya murid dapat terus berada di meja mereka setiap masa dan hubungan fizikal dihapuskan.

Juga, waktu rehat juga dibuat berperingkat di antara kelas agar pelajar tidak bertambah di kantin sekolah, sementara meja akan dibersihkan selepas setiap waktu.

“Walaupun kami kurangkan jumlah mata pelajaran setiap hari, kami yakin bahawa kami masih dapat menghabiskan semua mata pelajaran dalam kurikulum,” kata Amiruddin.

Sekolah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac untuk mengelakkan kanak-kanak dijangkiti virus Covid-19.

Masih terdapat 1,292 kes aktif di Malaysia sementara jumlah jangkitan sejak Mac berjumlah 7,877.

Angka kematian akibat wabak itu masih berjumlah 115 orang sementara 6,470 orang telah pulih.

Kementerian Pendidikan belum memutuskan bila sekolah akan dibuka semula, dan mengatakan pengumuman akan dibuat dua minggu sebelum tarikh sebenar.

Keutamaan diberikan kepada kelas Tingkatan Empat, Lima dan Enam kerana pelajar ini akan menduduki peperiksaan penting.

Amiruddin berkata NUTP menyedari cabaran dalam pembelajaran dalam talian memandangkan sebilangan pelajar mungkin menghadapi masalah untuk mengakses internet semasa berada di rumah.

“Pelajaran dalam talian tidak akan diselaraskan secara langsung tetapi dirakam sehingga murid dapat memuat turunnya menggunakan telefon pintar ibu bapa mereka. Juga kerja rumah dan tugas akan diberikan kepada mereka yang gilirannya belajar di rumah.

“Apabila tiba giliran mereka kembali ke kelas, mereka akan meminta penjelasan dari guru mereka mengenai aspek yang tidak mereka fahami.

“Maklum balas kami terima daripada guru adalah mereka komited untuk memastikan semua murid tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka dalam kelaziman baharu.” – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen