Covid-19, krisis kewangan dan ketegangan perkahwinan


Zainal Rashid Ahmad

APABILA tiga bulan perniagaan terjejas dan kehilangan 80% pendapatan harian, ketegangan rumah tangga pun bermula.

Empat belas pekerja terpaksa diberhentikan dan hanya lima yang dikekalkan. Itu pun, sejak Mac hingga Mei, pemilik restoran makanan India ini terkial-kial mencari wang membayar gaji pekerja.

“Bulan Mac saya masih membayar gaji penuh tetapi April saya sudah keluarkan wang simpanan untuk menanggung gaji pekerja,” kata Selvam.

Tekanan perniagaan dan ketegangan di restoran meleret sampai ke rumah.

Terlalu kerap bertelagah dengan isteri mengenai keadaan perniagaan yang merudum menyebabkan lelaki berusia 46 tahun ini memilih mengisi waktu dengan memandu kereta khidmat e-hailing.

“Duduk restoran pun bukan ada pelanggan dan kami sudah tiga bulan tidak mendapat tempahan makanan,” katanya.

Isterinya, kata Selvam, tidak dapat menerima hakikat perniagaan yang dibangunankan sejak 2009 kini terjejas teruk.

“Kalau ikut keadaan, kami sudah patut tutup perniagaan. Sewa tinggi di Brickfield dan keadaan tanpa pelanggan pasti berlarutan beberapa bulan lagi,” katanya.

Namun, isterinya yang meninggalkan pekerjaan sebagai pegawai bank 14 tahun lalu, masih mahu bertahan.

Selvam tidak setuju kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan hampir RM12,000 sebulan bagi kos sewa, gaji pekerja dan penyelenggaraan.

“Isteri saya berkeras mahu teruskan bisnes sebab kalau tutup restoran, kami mahu kerja apa?” Kata Selvam.

Pasangan itu juga masih mempunyai komitmen hutang perniagaan serta kos kehidupan keluarga yang perlu dilunaskan setiap bulan.

“Empat anak masih sekolah dan isteri saya tidak mungkin mendapat pekerjaan di bank kerana faktor usia. Saya pula sudah lama tinggalkan bidang perhotelan,” kata Selvam.

Krisis kewangan punca utama mereka saling berkelahi di rumah dan di restoran. Keadaan makin tegang hari ke hari apabila realiti bisnes mula menuju kebankrapan.

“Kami panik setiap kali memikirkan kenyataan ini,” kata Selvam.

Kebuntuan menyebabkan Selvam memilih untuk menjauhi isterinya.

“Saya pilih pandu e-hailing supaya berjauhan sikit dengan isteri dan kurangkan waktu bersama untuk elak bertengkar. Saya tak mahu krisis rumahtangga jadi makin teruk,” katanya.

Saya menaiki e-hailing yang dipandu Selvam dari Bandar Permaisuri, Cheras menuju ke Ara Damansara.

Perjalanan 30 minit yang tenang kerana kenderaan dipandu perlahan walaupun jalan lengang pada hari Sabtu.

“Anak-anak okay tak?” Tanya saya.

Selvam mendiamkan diri; termenung dan mencari jawapan.

Saya memberikan ruang kesenyapan dan membiarkan radio mengisi jurang waktu dengan lagu “Someone Like You” nyanyian Adele.

“Anak sulung sudah 19 tahun. Dia pun nampak “stress” sebab ibu bapa kerap bergaduh,” jawab Selvam.

Saya menjawab perlahan: “Kena uruskan keadaan dan jangan sampai anak-anak tertekan.”

“Itu sebab saya bawa e-hailing. Keluar pagi dan pulang lewat malam. Isteri urus restoran. Itu saja yang boleh saya fikirkan sekarang,” kata Selvam.

Saya faham jawapannya. Tidak semua keadaan ada penyelesaian tuntas. Ada masa jalan yang terbaik hanyalah mengelak diri berdepan masalah. Itu proses apabila buntu.

“Ya… kalau itu yang terbaik. Tapi, pastikan kamu OK dengan anak-anak,” kata saya.

Kereta sampai di depan pejabat pelanggan yang memerlukan khidmat pengurusan saya.

Pelanggan menjemput saya membantu isu komunikasi korporat kerana pelanggan lewat membuat bayaran.

Pelanggan saya kecewa apabila agensi kerajaan yang diuruskannya gagal melunaskan bayaran RM900,000.

Penangguhan bayaran dikaitkan dengan penutupan pejabat selama dua bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Agensi kerajaan yang gah pun turut bermasalah,” kata hati saya.

Saya turun dan mengucapkan kata-kata terakhir pada Selvam.

“Kita ibu bapa kena uruskan banyak benda. Tetapi keluargalah harta terbaik bagi kita semua,” kata saya.

Selvam menganggukkan kepala.

Dalam keadaan ekonomi yang sedang memburuk dan manusia berdepan segala macam masalah, saling menasihati adalah cara #kitajagakita. – 3 Jun, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen