Kuasa besar tidak mampu berdepan koronavirus, kata Dr Mahathir


Lebih 6.4 juta dijangkiti dan 378,000 nyawa terkorban di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19.– Gambar EPA, 2 Jun, 2020.

SEMUA senjata di dunia tidak berguna bila berdepan dengan musuh kecil yang dikenali sebagai novel koronavirus, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Disebabkan begitu kecil dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop, virus berkenaan yang melanda negara hari ini mampu menghapuskan semua manusia di dunia, tulisnya di blog beliau.

“Kuasa besar dunia menghabiskan trilion dolar untuk membangunkan senjata canggih dengan kuasa membunuh yang dipertingkatkan. Mereka pasti dalam peperangan mereka mampu membunuh lebih banyak musuh berbanding bilangan pahlawan mereka sendiri,” katanya.

Namun bila musuh menyerang katanya, mereka yang berkuasa tidak mampu berbuat apa-apa.

“Musuh ini tiada sebarang senjata. Tapi sangat berkuasa sehinggakan musuh terdiri daripada raja, jeneral dan pakar strategi lari lintang pukang untuk berlindung di rumah masing-masing. Mereka pun tidak berani keluar.

“Senjata yang mampu bertahan hanyalah air dan sabun, sarung tangan, penutup muka, penjarakan sosial dan berhenti kerja dan berhenti buat duit. Ramai yang akan mati kebuluran kerana bekalan makanan terputus.

“Tamadun hebat yang kita bina, teknologi hebat yang kita bangunkan, kekayaan individu, gaya hidup mewah dengan kapal layar dan jet peribadi, istana dan rumah percutian, kepantasan perjalanan, perhubungan, semua ini akan berubah sekiranya ia tidak hilang.

“Kehidupan baharu akan terbentuk, hidup dibelenggu ketakutan pandemik, kematian tiba-tiba, sekatan perjalanan dan percutian akan gantikan kelaziman. Kesemuanya akan menjadi kelaziman baharu.

“Musuh ini bersaiz mikroskopik namun kesannya sangat besar, lebih daripada perang dunia. Kuasa besar tidak mampu bertahan berdepan dengan makhluk mikroskopik ini. Kuasa tidak lagi menjadi milik negara kaya dan membangun. Semua senjata pemusnah tidak mampu menandingi kemusnahan yang dibuat oleh makhluk ini.

“Sudah pasti ada pengajaran yang boleh diambil di sini. Pengajaran yang diperoleh terpulang kepada kita semua.” – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen