Seludup ketum guna surat bawa barang keperluan, 2 lelaki ditahan


CUBAAN dua lelaki untuk menyeludup daun ketum dan dadah bernilai lebih RM21,000 ke Kelantan dengan berlindung di sebalik surat kebenaran membawa barang keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berjaya dihidu polis yang menahan mereka di sekatan jalan raya hari ini.

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata kedua-dua suspek berusia 40 dan 37 tahun terbabit ditahan pada 1.30 pagi di sekatan jalan raya berdekatan Kampung Batu 6, Batu Melintang di Jeli.

“Pihak kami menahan lori yang mencurigakan dari arah Gerik-Jeli yang membawa muatan tong ikan dengan dua tan daun ketum disembunyikan di tengah-tengah badan lori terbabit.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lori terbabit menemukan 100 botol ubat batuk, 54 biji pil yaba, satu botol 1.5 liter air ketum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli.

Hasanuddin berkata siasatan awal terhadap kedua-dua suspek yang berasal dari Tanah Merah itu mendapati bekalan diambil di Kedah untuk dipasarkan di daerah Tanah Merah.

“Suspek berumur  40  tahun itu mempunyai satu rekod lampau dan seorang lagi mempunyai lapan rekod lampau selain kedua-duanya positif bagi dadah jenis Methamphetamine.

“Kami percaya bekalan itu bukan hanya untuk diedarkan di sekitar Tanah Merah, tetapi untuk diedarkan di sekitar daerah lain berdasarkan kepada jumlah rampasan bekalan itu,” katanya.

Semakan turut mendapati lori tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta  Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan kedua-dua suspek direman selama  empat hari bermula hari ini,” katanya. – Bernama, 2 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen