ENAM kes positif di Pangsapuri Cheras berkemungkinan besar berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, setakat ini, kementerian mengenal pasti tiga kes daripada penghuni pangsapuri dan tiga lagi daripada orang luar yang dipercayai dijangkiti ketika ke sana.
“Kementerian mengesan menerusi tindakan pengesanan kes secara aktif dan semua kes positif kluster itu merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.
“Kluster ini masih di bawah siasatan, namun kemungkinan penularannya adalah daripada ziarah Hari Raya,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini siasatan dan ujian saringan kontak rapat kepada enam yang disahkan positifi itu sedang dijalankan.
“Setakat ini 120 orang telah dikenal pasti dan disaring, yang mana enam didapati positif, 79 negatif dan 38 masih menunggu keputusan.”
Menurutnya, walaupun sambutan Hari Raya adalah sebulan, orang ramai perlu mengelak daripada aktiviti ziarah.
“Kami mahu mengingatkan masyarakat walaupun sambutan biasanya sebulan, rumah terbuka dan perhimpunan masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan ia dilarang sama sekali.
“Justeru, kami menggesa agar masyarakat hentikan aktiviti ziarah.” – 2 Jun, 2020.
Komen