PIHAK pendakwa kes SRC International melibatkan Najib Razak tidak pernah berjaya menentukan sumber RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu, kata peguam dalam penghujahan lisan hari ini.
Peguam Harvinderjit Singh berkata pihak pendakwaan tidak menunjukkan bukti yang RM42 juta yang jadi tumpuan kes berasal daripada pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.
Tambahnya, wang tersebut adalah hasil “rompakan” individu tidak diketahui.
Beliau turut berhujah yang RM42 juta tidak pernah dibuktikan milik SRC International dan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP habis diedarkan.
RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib antara Disember 2014 sehingga Februari 2015 berasal daripada sumber tidak diketahui, katanya lagi.
“Daripada mana? Tiada siapa tahu. Pendakwaan kata asal usul wang itu tidak penting dan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun (Najib) sudah mencukupi.
“Kami hanya mahu ambil fakta bebas ini dan tunjukkan tidak ada CBT (pecah amanah) dilakukan anak guam saya,” kata Harvinderjit.
Pendakwaan berhujah yang pertuduhan ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman daripada KWAP, yang dibuat antara 2011 dan 2012 kepada SRC International, yang mana beliau dituduh menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
SRC International ketika itu adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Harvinderjit bagaimanapun berkata, sudah diterangkan dalam perbicaraan yang orang tengah 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif lain bertindak di luar bidang kuasa jawatan mereka dalam 1MDB dan SRC International.
Pendakwaan berhujah yang Low bertindak bersama-sama dengan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan arwah setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias bagi memastikan wujud dana mencukupi dalam akaun bank Najib supaya cek dikeluarkan tidak ditendang.
Harvinderjit sekali lagi mengulangi hujahnya yang Low, Nik Faisal dan Azlin berkomplot dan ia tidak melibatkan Najib.
“Pendakwaan berkata kesemua orang ini hanya ditugaskan untuk mendapatkan wang dan Datuk Seri Najib tidak peduli daripada mana wang itu. Bagaimanapun, itu adalah falasi kerana ini melibatkan perdana menteri dan jika satu cek ditendang, ia akan menimbulkan situasi memalukan.”
Katanya, wujud bukti mencukupi bagi mengatakan transaksi RM42 juta itu berkaitan dengan tindakan pecah amanah dilakukan Low, Nik Faisal dan orang lain, tanpa penglibatan Najib.
Najib berdepan tiga pertuduhan CBT, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Najib yang akan berusia 67 tahun bulan depan, diwakili kumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Perbicaraan kes SRC International kini memasuki fasa terakhir. Selepas pihak pembelaan selesai melakukan penghujahan lisan, pihak pendakwaan akan menutup kes mereka melalui Pendakwa Raya Khas V Sithambaram.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menetapkan tarikh lain untuk mengumumkan penghakiman. – 2 Jun, 2020.
Komen