SPRM tahan 4 orang kes palsu tuntutan kontrak kerajaan Terengganu


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, tiga yang ditahan ialah pengurus sebuah syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

AGENSI anti rasuah menahan empat individu termasuk seorang pegawai kanan jabatan kerajaan Terengganu berhubung kes tuntutan palsu untuk pembayaran kerja pembekalan yang tidak dilakukan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, tiga yang ditahan ialah pengurus sebuah syarikat.

“Mereka mengemukakan lapan tuntutan palsu bernilai RM68,000 dan pembayaran penuh juga sudah dilakukan namun kerja pembekalan tidak dilaksanakan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Mereka yang berumur antara 42 hingga 73 tahun itu ditahan di Perak dan Terengganu, hari ini.

“Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu, katanya.

Jika sabit kesalahan, mereka yang bersalah mengikut seksyen itu boleh dipenjara selama 20 tahun atau denda sebanyak lima kali nilai suapan. – 2 Jun, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen