Peguam Najib mahu mahkamah abai keterangan bekas menteri terkait skandal seksual


Bede Hong

Peguam Najib Razak mahu mahkamah mengabaikan keterangan saksi pendakwaan, bekas menteri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

PASUKAN pembelaan Najib Razak mahu mahkamah mengabaikan keterangan bekas menteri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dalam kes SRC International melibatkan suapan RM42juta kepada bekas perdana menteri itu.

Husni yang memberi keterangan pada Ogos tahun lepas menyatakan Najib menghalangnya pergi ke Switzerland pada 2015 untuk menyiasat dana SRC International sebanyak RM3.6 bilion yang dibekukan.

Pada penghujahan lisan hari ini, peguam Farhan Read membangkitkan fakta yang Husni mengugut untuk “mendedahkan” Najib menerusi satu mesej pesanan ringkas kepada rakan menteri lain. 

Farhan juga berkata Husni percaya Najib adalah dalang laporan gangguan seksual dibuat oleh seorang bekas kakitangan wanita.

Husni dalam keterangan diberikannya percaya tuduhan rasuah dan gangguan seksual terhadapnya dibuat selepas beliau membangkitkan masalah pengurusan 1Malaysia Development Bhd di Parlimen pada Oktober 2016.

Farhan memberitahu mahkamah hari ini yang keterangan Husni tidak boleh dipercayai kerana bekas menteri itu menyalahkan Najib berkaitan isu gangguan seksual dihadapinya.

“Bagaimana tanggapan kita terhadap orang sebegini? Lebih tepat lagi, bagaimana bukti (keterangan) diberinya terhadap tertuduh (Najib) difahami?

“Adakah kita boleh percaya apa yang beliau katakan begitu sahaja?”

Farhan berkata mahkamah perlu teliti dalam mengambil kira keterangan Husni disebabkan situasi ini.

Husni, 67, sebelum ini dalam keterangannya berkata yang Najib mengabaikan amaran terhadap pengurusan 1MDB dan SRC International.

Sejumlah RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diserahkan kepada SRC International dengan tujuan pelaburan arang batu di Jawa, Indonesia, sumber asli di Mongolia dan bakinya disimpan dalam bank di Switzerland dan Hong Kong.

Husni memberitahu mahkamah yang beliau cuba membawa pengawai Kementerian Kewangan dan KWAP ke Switzerland untuk memeriksa status pinjaman, tetapi Najib enggan meluluskan lawatan itu.

Beliau turut menyatakan Najib melayannya seperti “peon” , bukan sahaja mengabaikan kebimbangannya tetapi juga menyuruhnya berdiam diri.

Husni dilantik Najib ke dalam Kabinet pada 2009, tetapi meletak jawatan pada 27 Jun 2016.

Beliau juga adalah ahli Parlimen Tambun selama lima penggal sebelum dikalahkan Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pertuduhan ke atas Najib adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, bekas perdana menteri itu dituduh menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Jika sabit bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Najib yang akan berusia 67 tahun bulan depan, diwakili kumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan kes SRC International kini memasuki fasa terakhir. Selepas pihak pembelaan selesai melakukan penghujahan lisan, pihak pendakwaan akan menutup kes mereka melalui Pendakwa Raya Khas V Sithambaram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menetapkan tarikh lain untuk mengumumkan penghakiman. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen