PERDANA Menteri New Zealand Jacind Ardern hari ini mengecam penunjuk perasaan Black Lives Matter kerana melanggar peraturan penjarakan sosil ketika negara itu sudah hampir membasmi jangkitan Covid-19, dengan hanya satu kes aktif masih dirawat.
Pemimpin haluan tengah-kiri itu berkata beliau memahami perasaan rakyat yang berarak di beberapa bandar utama negara itu semalam untuk membantah kematian rakyat Afrika-Amerika George Floyd yang terbunuh kerana kekejaman seorang anggota polis kulit putih.
Tetapi, beliau juga meluahkan kebimbangan dengan kehadiran penunjuk perasaan yang ramai- dianggarkan 2,000 orang berhimpun di Auckland- boleh mengagalkan usaha New Zealand yang sudah berjaya membasmi virus itu, apabila mereka berarak berhimpit-himpit menyuarakan solidariti dengan penunjuk perasaan di AS.
“Kita dalam pandemik global, dan saya tidak senang sekiranya wabak kembali meledak hanya disebabkan seseorang mahu meluahkan sokongan dan berkongsi pandangan mereka tetapi jatuh sakit,” katanya kepada TVNZ.
“Itulah yang kita sedang cegah..jika hanya ada seorang dalam khalayak (dengan virus), cuba fikir apa yang akan berlaku.”
New Zealand dengan penduduk lima juta orang, merekodkan 1,154 kes Covid-19 dengan 22 kematian, selepas mengenakan perintah berkurung selama tujuh minggu yang berakhir bulan lepas.
Kes terbaru dilaporkan pada 22 Mei lalu dan hanya seorang dianggap sebagai kes aktif, seorang wanita berusia 50-an dikaitkan dengan kluster rumah orang tua di Auckland.
Bagaimanapun, penjarakan sosial masih dikuatkuasa, dan himpunan hanya dihadkan kepada hanya 100 orang sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada jangkitan tidak dikesan dalam komuniti penduduk negara itu.
Timbalan Ardern, Winston Peters, yang merupakan rakan parti populis New Zealand First Party, mendesak supaya penganjur protes didakwa.
“Fakta yang ada orang merasakan mereka lebih berkuasa daripada undang-undang tidak boleh diterima. Itu isunya di sini,” katanya dalam rancangan bersama Radio New Zealand.
Ardern berkata langkah berjaga-jaga adalah urusan polis, dan pihak berkuasa cuba mendidik mereka yang melanggar peraturan berbanding terus mendakwa.
New Zealand diletakkan pada tahap dua dalam sistem empat tahap virus yang diasaskannya, dan Ardern berkata ia boleh berubah seawal minggu ini, membatalkan sekatan domsetik tetapi masih mengekalkan kawalan sempadan.
“Jika dan bila kita masuk ke dalam tahap pertama, kebanyakan sekatan akan dibatalkan.” – AFP, 2 Jun, 2020.
Komen