PERJALANAN rentas negeri dan penyambungan semula aktiviti keagamaan mendapat undi tertinggi dalam tinjauan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung peraturan apa yang harus dilonggarkan selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir pada 9 Jun.
Pungutan undi pelbagai pilihan, yang disiarkan semalam di saluran Telegram MKN pada pukul 5.45 petang, mendapat 174,208 undi ketika berita ditulis pagi ini.
Bagi soalan “Apa peraturan bagi aktiviti yang harus dilonggarkan selepas 9 Jun?”, 62% memilih perjalanan rentas negeri, diikuti 58% yang memilih aktiviti keagamaan.
Ketiga tertinggi ialah aktiviti pendidikan yang mendapat 35% undi.
Sementara itu, pembukaan semula kedai gunting rambut, kebenaran beroperasi perniagaan tanpa premis tetap, seperti penjaja, pasar mingguan, pasar petani dan pasar malam, memperoleh 33%.
Sebanyak 11% pengundi memilih aktiviti hiburan dan rekreasi, yang dikenal pasti sebagai pawagam, tempat karaoke, muzium dan taman hiburan.
Sepuluh peratus pula mahu aktiviti seni dan industri kreatif disambung semula, yang digambarkan MKN sebagai penggambaran drama dan dokumentari.
Hanya 2% memilih aktiviti perjudian untuk disambung semula.
PKPB dikenakan pada 4 Mei selepas tujuh minggu penutupan sebahagian atau PKP di seluruh negara yang bermula pada 18 Mac bagi membendung penyebaran Covid-19.
PKPB membenarkan lebih banyak sektor ekonomi memulakan perniagaan dalam keadaan yang ketat untuk memeriksa Covid-19 di kalangan pekerja, dan juga melonggarkan peraturan tertentu bagi membolehkan rakyat keluar rumah.
Bagaimanapun, kegiatan yang melibatkan sekolah dan perhimpunan besar masih dilarang, dan perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan bagi mereka yang mendapat kebenaran polis.
Tiada pengumuman rasmi yang dibuat mengenai lanjutan PKPB setelah 9 Jun, tetapi Kementerian Kesihatan berkata lebih banyak sektor akan dibuka semula jika keadaan Covid-19 terus terkawal.
Malaysia kini mencatat dua digit dalam jangkitan baharu setiap hari, yang kebanyakannya melibatkan pekerja asing. – 2 Jun 2020.
Komen