Siasatan awam kehilangan pastor dan isteri akan disambung, kata Suhakam


Noel Achariam

Pastor Joshua dan isterinya Ruth hilang pada 2016, dan pada 2018 adik beradik Ruth membuat laporan orang hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

SIASATAN awam berkenaan kehilangan Pastor Joshua dan isterinya Ruth Hilmy akan bersambung semula sebaik saja perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditamatkan kerana rakyat Malaysia mahukan kebenaran tentang apa yang terjadi kepada pasangan itu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mula memuktamadkan tarikh sambungan semula siasatan awam itu sebaik saja PKPB tamat pada 9 Jun.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata semua garis panduan dan langkah berjaga-jaga mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diambil sebelum siasatan awam itu disambung semula.

Siasatan awam itu ditangguhkan pada pertengahan Mac selepas dua pesuruhjaya Suhakam didapati positif Covid-19. Panel siasatan awam itu dipengerusikan oleh pesuruhjaya Hishamuddin Yunus, dibantu oleh pesuruhjaya Joseph dan Madeline Berma.

Joseph berkata mereka akan mematuhi garis panduan KKM berkenaan penjarakan sosial dan protokol kesihatan yang lain. Suhakam mungkin melakukannya secara strim langsung tetapi masih terbuka kepada awam.

“Kami masih perlu 15 hari lagi untuk kes ini,” kata Joseph kepada The Malaysian Insight.

“Rakyat Malaysia perlu tahu apa berlaku pada pasangan ini dan kami mahu menyiasatnya.”

Pada hari terakhir pendengaran 4 Mac lalu sebelum PKP, persatuan sivil Indonesia KontraS berkata mereka akan membawa kes Joshua dan Ruth kepada Presiden Indoensia Joko Widodo jika tiada penemuan kukuh daripada siasatan awam itu.

Koordinator KontraS Yati Andriyani berkata mereka sudah membangkitkan isu itu kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia.

Matlamat siasatan awam Suhakam itu ialah untuk menentukan sama ada pasangan itu menjadi mangsa kehilangan paksa, atau tidak.

Hak asasi manusia antarbangsa mendefinisikan kehilang paksa sebagai bila seseorang itu diculik atau dipenjarakan secara rahsia oleh organisasi negara atua politik, atau pihak ketiga yang mendapat kebenaran, sokongan atau persetujuan daripada organisasi politik atau negara.

Tidak banyak yang diketahui tentang Joshua dan Ruth yang hilang pada 2016. Dua tahun selepas kehilangan mereka, adik beradik Ruth membuat laporan orang hilang.

Keluarga Ruth berasal dari perkampungan nelayan Nambiki di utara Sumatera, Indonesia.

Dalam prosiding sebelum ini, panel siasatan awam diberitahu bahawa pasangan itu mahu melarikan diri dari negara ini selepas Joshua mula menerima ugutan daripada panggilan telefon dan emel seawal 2015.

Emel dan amaran untuk keluar dari negara ini diterima berhubung dakwaan bahawa Joshua memurtadkan umat Islam masuk Kristian.

Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin disebut dalam siasatan awam itu atas dakwaan menghantar emel kepada Joshua, memberi amaran supaya pasangan itu keluar dari negara ini. Namun, Khairy menafikan tuduhan itu, berkata beliau tidak kenal pun Joshua atau Ruth.

Ini siasatan awam ketiga diadakan oleh Suhakam. Badan hak asasi manusia itu sebelum ini mengadakan siasatan awam yang hampir sama, dalam mengenal pasti punca kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat.

Siasatan awam itu mendapati dua aktivis berkenaan diculik oleh Cawangan Khas dari ibu pejabat polis di Bukit Aman. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen