Protes makin buruk, Trump berlindung di kubu Rumah Putih


Kumpulan penunjuk perasaan bertindak membakar bendera Amerika Syarikat dan memusnahkan kemudahan awam berhampiran Rumah Putih di Washington.– Gambar EPA, 29 Mei, 2020.

POLIS melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap kumpulan penunjuk perasaan di luar Rumah Putih susulan protes yang membantah kekejaman polis yang membunuh seorang lelaki kulit hitam semakin memuncak.

Pentadbiran Trump menyifatkan penunjuk perasaan terbabit sebagai pengganas domestik dan lebih banyak pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan dan polis.

Keganasan terus berlaku di sebuah taman berhampiran Rumah Putih yang mana pihak berkuasa bertindak melepaskan gas pemedih mata dan penyembur lada untuk menyuraikan kumpulan berkenaan.

Kumpulan penunjuk perasaan terbabit turut bertindak membakar dan memusnahkan kemudahan awam.

Pemimpin tempatan AS turut merayu kumpulan terbabit agar menghentikan keganasan dan kemarahan mereka berhubung kematian lelaki kulit hitam di Minneapolis manakala perintah berkurung turut dikuatkuasakan di beberapa bandar utama termasuk Washington, Los Angeles dan Houston.

Sementara itu, New York Times melaporkan Presiden Donald Trump dibawa oleh ejen Perkhidmatan Rahsia untuk berlindung di kubu bawah tanah di Rumah Putih pada Jumaat ketika Datuk Bandar Washington mengisytiharkan perintah berkurung di bandaraya itu bermula 11.00 malam hingga 6.00 pagi.

Di Minneapolis, ribuan penunjuk perasaan berhimpun sebelum berarak ke lebuh raya.

“Kita ada anak, adik dan kawan kulit hitam, kita tidak mahu mereka mati. Kita sudah bosan dengan apa yang berlaku, kita sudah bosan dengan penindasan, ” kata seorang penunjuk perasaan, Muna Abdi, 31.

Ratusan anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menyuraikan kumpulan terbabit.

Dalam satu kejadian, kumpulan penunjuk perasaan yang tiba di sebuah jambatan terpaksa mencari perlindungan selepas sebuah lori yang dipandu laju cuba merempuh sekatan yang dibuat.

Pemandu lori berkenaan dikejarkan ke hospital selepas dipukul kumpulan penunjuk perasaan terbabit.

Menurut laporan New York Times, pemandu terbabit kemudiannya ditahan.

Sementara itu polis Minnespolis melaporkan mereka menemukan bom buatan sendiri di sekitar bandaraya berkenaan.

Terdapat dua tunjuk perasaan besar-besaran pada malam Ahad, termasuk di New York dan Miami. – AFP, 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen