PIHAK pembelaan menuduh pendakwa secara tidak sah mengubah skop kesnya terhadap Najib Razak, berkata bekas perdana menteri bersekongkol dengan Low Taek Jho, yang mengetuai “sekumpulan tiga eksekutif” bagi menipu SRC International.
Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah, salah satunya menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta yang diterimanya pada 2014 dan 2015.
Perbicaraan yang bermula pada 3 April tahun lalu, menyaksikan 57 saksi pendakwaan memberi keterangan sebelum peringkat pembelaan dijalankan, dengan 18 saksi pembelaan memberi keterangan dari 3 Disember hingga 11 Mac. Ia kini di peringkat penghujahan.
Peguam Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa keterangan lisannya petang ini yang pertuduhan pecah amanah terhadap Najib tidak menyebut mengenai persubahatan atau konspirasi.
Peguam itu menambah pihak pendakwa pada awalnya berkata peranan Low dalam SRC International hanya terbatas seperti memberi maklumat kepada bekas perdana menteri mengenai status akaun bank.
Beliau berkata pihak pendakwaan kemudian mengubah kes mereka untuk memasukkan bukti yang diperoleh oleh pihak pembelaan semasa soal balas terhadap saksi.
Pihak pendakwaraya kini mendakwa Low bertindak bersama dengan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan setiausaha peribadi Najib, Allahyarham Azlin Alias untuk memastikan terdapat dana mencukupi dalam akaun bank Najib dan agar cek tidak ditendang, kata Harvinderjit.
Pihak pendakwa mengubah kesnya dengan berkata Najib juga bersekongkol dan bertindak bersama Low, yang menurut peguam bela adalah tuduhan yang tidak disenaraikan secara jelas dalam kertas pertuduhan.
Harvinder berpendapat tiada konsistensi lain ketika pihak pendakwa meletakkan kes mereka pada awal perbicaraan dan setelah saksi pembelaan dipanggil.
Beliau berhujah pihak pendakwaan “menyesuaikan kes mereka” secara tidak sah di tahap akhir perbicaraan berdasarkan kenyataan saksi pembelaan.
Najib berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hari ini hingga Rabu bagi penghujahan akhir dan selepas itu akan menetapkan tarikh untuk menyampaikan keputusannya.
Ahli Parlimen Pekan, yang berusia 67 tahun bulan depan, diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Selepas pembelaan diakhiri dengan penghujahan lisannya, giliran pendakwaan akan disampaikan oleh pendakwaraya V Sithambaram. – 1 Jun, 2020.
Komen