SELAMA dua bulan selepas kehilangan anak lelakinya yang terbunuh dalam kebakaran sekolah tahfiz September lalu, beliau hidup dalam derita.
Bagaimanapun, hari ini, dalam penderitaan itu beliau menemui kekuatan dan Hartini Abd Ghani mahu menggunakan kekuatan barunya itu untuk membentuk budaya peduli dan meningkatkan semangat kemasyarakatan di Kampung Datuk Keramat.
Hartini bekerjasama dengan sebuah pergerakan masyarakat sivil, Ummah Ikhlas untuk membentuk program kesedaran dikenali sebagai Keramat Lab untuk menyatukan penduduk kawasan itu.
Ibu kepada tujuh orang anak yang tinggal di Ampang, Selangor itu sebelum ini tidak mengetahui gejala sosial yang menyelubungi Kampung Datuk Keramat. Hanya setelah kebakaran yang mengorbankan 21 orang pelajar tahfiz dan dua guru, barulah beliau sedar yang sesuatu perlu dilakukan.
Anaknya, Nik Mohamed Ridzuan Nik Azalan, 12, adalah salah seorang yang terbunuh setelah api marak membakar bilik asrama Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah pada 14 September lalu.
“Itu punca semuanya. Saya tak tahu masalah kawasan itu sebelum ini,” kata ahli perniagaan berusia 48 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
“Saya buat pemerhatian dan saya mendengar. Saya terima maklum balas daripada masyarakat sekitar dan pelajar tahfiz. Budak-budak terabai di kawasan itu, penyalahgunaan dadah.
“Kita perlu beri perhatian kepada semua perkara walaupun kecil. Kita perlu mula peduli dan semua orang perlu memainkan peranan mereka untuk menyembuhkan gejala sosial Kampung Datuk Keramat.”
Tragedi itu dikatakan berpunca daripada tindakan tujuk budak-budak lelaki kawasan itu, yang termuda baru berusia 11 tahun. Perhatian seluruh negara kemudiannya dituju kepada kawasan penempatan itu sendiri, yang selama ini memang mempunyai reputasi menakutkan kerana gangsterisme, salah guna dadah dan isu sosial yang lain.
Suspek yang ditahan dan didakwa membunuh adalah pesalah juvana. Sebilangan mereka diuji positif dadah.
Kawasan Datuk Keramat mempunyai ramai penduduk yang terdiri daripada orang luar, terutama dari Indonesia.
Hartini mengatakan beliau tidak boleh berdiam diri dan membenarkan deritanya menelan dirinya kerana ada masalah yang lebih besar perlu ditangani.
“Masyarakat, jiran, ibu bapa, kanak-kanak dan agensi kerajaan perlu memainkan peranan mereka.
“Sangat menyedihkan kebanyakan yang terbunuh dalam kejadian itu adalah kanak-kanak. Juga sangat menyedihkan untuk tahu yang mereka yang melakukan jenayah itu dan didakwa juga kanak-kanak,” katanya.
Katanya lagi, beliau mahu mendaftarkan kanak-kanak yang tinggal di kawasan itu dan melibatkan mereka dalam aktiviti yang sihat.
Keramat Lab dijadualkan akan dilancarkan pada 2 Disember di tasik di belakang Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah dan dijangka hampir 500 orang termasuklah pemimpin setempat dan penduduk kawasan itu.
Hartini juga sudah menjemput pusat tahfiz itu untuk terlibat sama dalam majlis itu.
“Saya mahukan penyelesaian untuk masalah di Keramat dan berharap penduduk mula menyedari yang ia bukan masalah awak atau masalah saya. Ia adalah masalah kita bersama,” katanya. – 29 November, 2017.
Komen