Pengecualian caj RM1 di ATM kekal, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Pengecualian caj RM1 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berkuat kuasa awal April lalu sehingga tamat tempoh PKP bagi mengelakkan kesesakan di kaunter ATM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

PENGECUALIAN caj RM1 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) masih dikekalkan buat masa ini, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga masih belum menerima sebarang permohonan daripada institusi kewangan untuk pengecualian itu ditamatkan.

“Tidak ada perbincangan atau permohonan bank untuk caj RM1. Oleh itu pengecualian RM1 itu dikekalkan, tidak ada perubahan. 

“Pengecualian itu masih dikecualikan dan kita boleh nikmati faedah yang kita perolehi hari ini,” katanya, dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri minggu lalu mengumumkan waktu operasi mesin ATM dilanjutkan seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang PKP, mesian ATM hanya dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Pengecualian caj RM1 itu dikuatkuasakan awal April lalu sehingga tamat tempoh PKP bagi mengelakkan kesesakan di kaunter ATM.

Namun begitu, sebaik sahaja tamat tempoh PKP, kerajaan kemudinnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei, yang memberikan beberapa kelonggaran kepada sektor ekonomi.

PKPB pula dijadualkan tamat pada 9 Jun depan. – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen