KHIDMAT pendandan dan gunting rambut, termasuk yang beroperasi dari rumah tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawaan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata, larangan itu kekal sehingga Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor ekonomi tersebut.
“Memang tidak dibenarkan sama sekali untuk gunting rambut. SOP sedang disediakan. Saya percaya KKM akan sediakan bersama MKN. Ia belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat khas menteri.
“Setakat ini, ia masih dalam senarai larangan di mana-mana sahaja termasuklah di rumah,” kata ahli Parlimen Bera itu ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.
Operasi perkhidmatan dandanan dan gunting rambut dihentikan bermula pada 18 Mac lalu, sebaik sahaja PKP dikuatkuasan buat pertama kali bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.
Pada 10 April, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indstri (Miti) menyenaraikan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi ketika negara memasuki fasa keempat pelaksanaan PKP.
Bagaimanapun, kebenaran ditarik balik dan kekal sehingga ke hari ini susulan kritikan banyak pihak. – 1 Jun, 2020.
Komen