PEMUDA Amanah dan DAP membuat aduan kepada agensi antirasuah hari ini berhubung sogokan dilakukan Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata dakwaan sogokan itu berdasarkan satu rakaman suara berhubung tawaran tersebut yang didakwa diucapkan Muhyiddin.
Sogokan itu didakwa sebagai tawaran jawatan menteri dan juga jawatan dalam syarikat berkatian kerajaan (GLC) kepada pemimpin dan ahli Parlimen, yang menurutnya jelas menyalahi undang-undang.
“Rakaman audio itu dengan jelas menunjukkan pemimpin itu menggunakan kedudukan dalam kerajaan dengan menawarkan jawatan pengerusi GLC untuk mendapatkan sokongan penuh untuk membentuk kerajaan PN.
“Perbuatan itu jelas sekali satu kesalahan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009),” katanya yang tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Rakaman itu, yang belum disahkan, dipercayai mengandungi ucapan dalam satu mesyuarat pimpinan bekas parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut pada 23 Februari.
Peristiwa itu didakwa berlaku sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebelum Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH.
“Sekiranya audio tersebut sah, maka mereka yang menawarkan dan menerima jawatan berkenaan wajar disiasat mengikut Akta SPRM 2009,” kata Shazni.
Satu lagi laporan sama dibuat Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Kiat di SPRM Kuala Lumpur atas dakwaan sogokan beradasrkan rakaman audio sama.
Dalam rakaman itu, individu tersebut menyebut saranan supaya pemimpin partinya meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk melompat parti.
Rakaman itu antara lain menyebut tawaran jawatan menteri atau ketua syarikat berkaitan kerajaan boleh diberi untuk membolehkan kerajaan baharu dibentuk dengan Umno.
“Kalau dia tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’
“Kalau kita ambil seorang-seorang, mungkin ada di antara mereka terutamanya kalau mereka ada tawaran-tawaran tertentu, why not?
“Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno, 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.
“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. (Kalau) tak jadi menteri, jadi pengerusi of GLC,” rakaman itu dipetik.
Individu berkenaan seterusnya berkata, Bersatu akan menjadi parti Melayu terbesar dalam pentadbiran baru sekiranya mereka berjaya.
Kerajaan PH runtuh ekoran tindakan Muhyiddin membawa Beratu keluar daripada gabungan parti tersebut.
Muhyiddin kemudian bekerjasama dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan bekas anggota Parlimen PKR untuk membentuk PN.
Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu.
Muhyiddin setakat ini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan umum bagi menafikan atau mengesahkan tawaran sogokan dalam rakaman berkenaan. – 1 Jun, 2020.
Komen