PENDAKWAAN gagal membuktikan yang Najib Razak melakukan pecah amanah (CBT) dalam kes SRC International melampaui keraguan munasabah, kata pihak pembelaan dalam penghujahan lisan pagi ini.
Najib berdepan tiga pertuduhan CBT, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan penggubahan wang haram berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta diterimanya antara 2014 dan 2015.
Peguam bela kanan Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini yang pendakwaan cuba menunjukkan ada hubungan antara Najib, 66, dengan tokoh utama skandal 1Malaysia Development Bhd, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Pendakwaan sebelum ini berhujah yang Najib mempercayai Low untuk memainkan peranan menguruskan syarikat itu.
“Tetapi, itu bukan pertuduhannya,” kata Harvinderjit.
“Pertuduhan adalah Datuk Seri Najib melakukan CBT. Tidak ada pertuduhan berkonspirasi atau bersubahat.
“Jadi apa yang berlaku sebenarnya adalah pendakwaan membuat kes mereka untuk memenuhi jangkaan pelbagai campur tangan (pihak tertentu) atau andaian dibuat sebelum perbicaraan,” katanya.
“Mereka tak boleh buat kes tanpa disokong dokumen atau saksi mereka,” tambah Harviderjit lagi.
Peguam itu juga berkata pendakwaan turut mengabaikan bukti pembelaan yang tandatangan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah Suboh Md Yassin dipalsukan dalam enam surat arahan kepada bank yang menyebabkan RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.
“Pihak pendakwaan berkata tidak kisahlah ia dipotong dan ditampal (copy and paste) kerana tidak ada aduan dibuat SRC.
“Beritahu saya bagaimana CBT dilakukan dan bukannya oleh beberapa keterangan yang kabur. Bagaimana sebenarnya enam surat arahan ini wujud. Enam surat arahan yang disampaikan kepada bank untuk memindahkan RM50 juta dan diletakkan ke dalam akaun Najib. Di mana CBT? Kes bukan digerakkan dengan kemungkinan, ia adalah untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.”
Pihak pembelaan juga berkata RM290 juta dana dalam akaun bank SRC International diedarkan atas arahan Low untuk kepentingan, manfaat dan agenda peribadinya. Ini termasuklah RM42 juta yang dituduh diseleweng Najib.
Pihak pembelaan berhujah yang Najib bukan punca RM42 juta dikeluarkan daripada SRC International dan dimasukkan ke dalam akaunnya, dan transaksi itu berlaku tanpa pengetahuannya.
Tambah pihak pembelaan lagi, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Jun 2018 sendiri mendapati transaksi RM42 juta berkaitan CBT dilakukan secara bersama oleh Nik Faisal, Low dan lain-lain.
Najib boleh dihukum penjara 20 tahun jika sabit bersalah.
Hakim bersidang Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hari ini sehingga Rabu untuk penghujahan lisan, selepas itu beliau akan menetapkan tarikh lain untuk mengumumkan penghakimannya. – 1 Jun, 2020.
Komen