Korea Utara buka semula sekolah bulan ini


Sekolah di Korea Utara akan dibuka semula bulan ini selepas ditutup akibat penyebaran wabak Covid-19. – Gambar EPA, 1 Jun, 2020.

KOREA Utara akan membuka semula sekolah bulan ini selepas ditutup akibat penyebaran pandemik Covid-19, kata laporan hari ini.

Pyongyang belum mengesahkan adanya jangkitan Covid-19 di negara itu tetapi sudah mengenakan peraturan ketat termasuk menutup pintu sempadannya dan mengasingkan ribuan rakyatnya.

Tarikh baharu persekolahan yang dijadualkan bermula awal April sudah ditangguhkan banyak kali walaupun beberapa universiti dan sekolah menengah dibenarkan untuk menyambung kelas pada pertengahan April.

“Semester baharu akan bermula di sekolah rendah, menengah dan tinggi di seluruh negara dari awal Jun dan langkah kuarantin dibuat untuk pembukaan semula taska dan tadika.

“Kementerian Pendidikan diminta menyediakan thermometer dan pembersih tangan di setiap pintu masuk sekolah, kelas dan pejabat sementara pekerja di sekolah serta taska disarankan untuk berpegang pada prinsip anti-virus,” lapor agensi berita Yonhap yang memetik radio kerajaan Korea Utara.

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia meningkat kepada lebih 6.1 juta orang dengan 370,000 kematian di 196 negara dan wilayah. – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen