SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti mengesahkan rakaman audio yang kononnya Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan kepada ahli Parlimen Umno, kata Ramkarpal Singh.
Pengerusi Biro Undang-Undang Nasional DAP berkata akan ada kesan serius sekiranya rakaman itu adalah tulen.
“Yang pertama perlu kita tekankan di sini adalah sama ada rakaman itu sahih. Hanya pakar teknikal dapat menentukan hal ini. Kepakaran seperti itu berada di bawah bidang kuasa SPRM dan polis.
“Kesan rakaman jika terbukti benar adalah perkara serius.
“Tawaran atau penerimaan jawatan adalah hasil dari rasuah. Ini adalah satu bentuk suapan yang sama seperti rasuah di bawah Akta SPRM 2009,” katanya kepada media di luar pejabat SPRM di Jalan Cochrane Kuala Lumpur selepas membuat laporan mengenai perkara itu.
Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor mendesak SPRM dan juga Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyiasat perkara itu.
Beliau berkata rakyat berhak mengetahui adakah rakaman yang bocor pada hujung minggu lalu itu sahih dan jika demikian, adakah ahli Parlimen Barisan Nasional terpikat untuk bergabung dengan Muhyiddin di bawah Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan.
Ramkarpal berkata laporan polis mengenai perkara itu juga akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi hari ini.
“SPRM dan polis bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan.
“Selepas siasatan selesai laporan akan diserahkan kepada peguam negara. Beliau kemudian akan memeriksa laporan dan membuat keputusan.
“Sekarang terserah kepada SPRM dan polis,” katanya. – 1 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen