Moscow longgar perintah berkurung walaupun kes Covid-19 terus naik


Rusia adalah negara ketiga di dunia dengan jumlah jangkitan dan korban Covid-19 tertinggi. – Gambar AFP, 1 Jun, 2020.

KOMPLEKS beli belah dan taman dijangka dibuka semula di Moscow hari ini apabila ibu kota Rusia itu mula melonggarkan sekatan Covid-19 walaupun ia merupakan negara ketiga dunia dengan jumlah kes jangkitan tertinggi.

Pelonggaran perintah berkurung di Moscow- pusat meledaknya wabak di Rusia- dengan jumlah penduduk lebih 12 juta orang dibuat selepas Presiden Vladimir Putih mengumumkan wabak itu sudah mencapai kemuncak jangkitan.

Moscow diletakkan di bawah perintah berkurung sejak 30 Mac lalu, dengan penduduk di bandar paling padat di Eropah itu hanya dibenarkan keluar untuk membeli barangan runcit, membawa anjing berjalan atau melakukan perjalanan kerja dengan permit.

Walaupun penduduk Moscow mengalu-alukan peluang kembali ke taman dan kompleks beli belah selepas berminggu terkurung di rumah, ramai memperlekeh usaha datuk bandar mahu “bereksperimen” dalam aspek senaman dan kesihatan penduduk.

Pelbagai perlian tular di media sosial dengan pengulas politik Alexander Golts menyifatkannya sebagai “kerja gila”.

Pengkritik menyifatkan pihak berkuasa cuba meniru dunia distopia dalam novel karya Aldous Huxley dan Yevgeny Zamyatin.

Dengan kelonggaran diberikan, dobi dan kedai baiki kenderaan akan dibenarkan buka, tetapi restoran, kafe dan panggung wayang masih ditutup.

Pihak berkuasa juga menghalang himpunan besar-besaran dan kuarantin di Moscow akan terus dikuatkuasa sehingga 14 Jun.

Ramai pengkritik mempersoal tindakan melonggarkan sekatan itu sedangkan Rusia melaporkan lebih 9,000 kes jangkitan pada Ahad.

Dengan lebih 405,000 kes jangkitan dan lebih 4,600 kematian, negara itu adalah pusat paling teruk wabak selepas Amerika Syarikat dan Brazil.

Penganalisis berkata Putih bertegas mahu membuka semula ekonomi dan baru-baru ini mengumumkan penangguhan perarakan kemenangan Perang Dunia Ke-2 kepada 24 Jun.

Pemimpin berusia 64 tahun itu dijangka mengumumkan tarikh baharu untuk pengundian pembaharuan perlembagaan yang berpotensi membolehkannya berkuasa sehingga 2036. – AFP, 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen