KEMISKINAN di Tebing Barat mungkin naik dua kali ganda kerana ekonomi rakyat Palestin kini terjejas teruk disebabkan wabak Covid-19, kata Bank Dunia hari ini.
Wilayah Palestin itu menyaksikan kadar jangkitan rendah selepas wabak berjaya dikekang dengan hanya tiga kematian dan 450 kes dilaporkan daripada lima juta penduduk di Gaza dan Tebing Barat.
Tetapi keadaan kewangan Pihak Berkuasa Palestin “dijangka bertambah sukar” disebabkan kehilangan sumber pendapatan dan peningkatan perbelanjaan untuk kesihatan dan sektor lain, kata laporan dikeluarkan Bank Dunia itu.
Situasi itu menyebabkan jumlah isi rumah hidup di bawah garis kemiskinan dijangka meningkat tahun ini daripada 14% kepada 30% di Tebing Barat, disebabkan rakyat Palestin tidak dapat pergi ke Israel untuk bekerja.
PA minggu lepas mengumumkan pengakhiran perintah berkurung yang dikenakan sejak awal Mac lalu di seluruh Tebing Barat selepas wabak Covid-19 itu mula dikesan di sana.
Penamatan perintah berkurung itu membolehkan lebih 63,000 penduduk Palestin kembali boleh melintasi sempadan untuk bekerja pada Ahad, menurut tentera Israel yang menguruskan urusan hal ehwal awam di jajahan Palestin.
Sempadan Tebing Gaza yang diuruskan Hamas yang disekat Israel sejak 2007, terus ditutup tetapi beberapa orang mula kembali ke Gaza sebelum menjalani kuarantin.
Kadar kemiskinan sudahpun mencecah 53% di Gaza sebelum wabak dan Bank Dunia menjangkakan ia akan terus meningkat sehingga 64% tahun ini.
Secara keseluruhannya, ekonomi Palestin menguncup antara 7.6% dan 11%, dan badan dunia itu berkata ia akan terjejas teruk selepas mencatat pertumbuhan 1% pada 2019.
Walaupun PA sudah mengambil langkah mengurangkan kesan wabak kepada ekonominya, Bank Dunia berkata jurang kewangan “terus meluas mendadak” dengan AS$800 juta tahun lepas kepada AS$1.5 bilion tahun ini.
“Ketika ini, sukar menjangkakan berapa lama masa diperlukan untuk ekonomi kembali pulih kerana langkah pencegahan penularan yang berlaku sekarang,” kata bank itu.
Laporan mencadangkan pelaburan rangkaian telefon untuk menggalakkan ekonomi.
Rakyat Palestin bergantung kepada rangkaian data telefon 2G dan 3G di Gaza dan Tebing Barat, walaupun sesetengah negara dunia sudah mula menggunakan 5G. – AFP, 1 Jun, 2020.
Komen