Thailand lulus pakej rangsangan ekonomi terbesar


Pakej ini juga akan membantu menstabilkan pasaran dan meningkatkan kuasa membeli selain suntikan sebanyak AS$1.4 bilion diberikan kepada sektor kesihatan. – Gambar AFP, 31 Mei, 2020.

PARLIMEN Thailand meluluskan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hampir AS$60 bilion, suntikan dana terbesar kerajaan itu bagi memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pakej itu akan memacu pertumbuhan ekonomi negara tersebut yang dijangka mengucup antara 6 hingga 7% pada tahun ini.

Dana berjumlah AS$17.3 bilion akan diberikan kepada golongan petani dan pekerja tidak formal seperti penjaja jalanan dan mereka yang bekerja di pusat mengurut serta kelab.

Pakej ini juga akan membantu menstabilkan pasaran dan meningkatkan kuasa membeli selain suntikan sebanyak AS$1.4 bilion diberikan kepada sektor kesihatan.

Usaha kerajaan pimpinan Prayut Chan-O-Cha itu bagaimanapun menerima kritikan pembangkang yang curiga terhadap ketelusan dalam membelanjakan dana tersebut.

Kes jangkitan Covid-19 di Thailand semakin menurun sejak beberapa minggu lalu dengan hanya empat kes sahaja dicatatkan hari ini.

Setakat ini, negara itu hanya merekodkan lebih 3,000 kes dengan 57 kematian.

Namun ekonomi Thailand yang bergantung kepada pelancongan, terjejas teruk kerana perjalanan antarabangsa terhenti ekoran larangan penerbangan masuk dan keluar yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara.  – AFP, 31 Mei, 2020.    
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen