KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengumumkan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2017 pada Ahad berjaya walaupun terdapat kritikan mengenai kekurangan baju-T, coklat tamat tempoh dan masa pengambilan pingat yang lama.
Exco pelancongan negeri, Danny Law yang merupakan pengerusi penganjur maraton berkata, acara itu disertai 35,000 pelari dari 85 negara.
“Ini satu kejayaan. Semua hotel dapat manfaat… Ia masih acara antarabangsa utama yang berjaya untuk Pulau Pinang. Para peserta menang hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama iaitu sebuah Volkswagen Vento.
Tetapi ada beberapa akhbar yang hanya memilih untuk melaporkan bahagian negatif dan mengenepikan yang bagus,” Law memberitahu The Malaysian Insight.
Ada sesetengah peserta yang mengkritik penganjuran acara itu lemah dan melahirkan rasa tidak puas hati di media sosial, dan dilaporkan media.
Hisyamzaila Hatimtai dalam postingnya di Facebook berkata mereka tidak mendapat baju-T mengikut saiz mereka.
“Mereka kata stok dah habis. Saya diberi saiz XS sedangkan saya minta saiz L semasa mendaftar pada Disember 2016,” katanya di Facebook. Katanya lagi, peserta perlu menunggu masa yang lama untuk mendapatkan pingat larian mereka.
“Ini sangat memalukan bagi acara maraton yang besar. (Saya) pasti tak akan sertai acara ini tahun depan,” katanya pada keesokan hari.
Peserta menunggu selama dua jam untuk mendapatkan pingat mereka dan tiada acara penyampaian hadiah bagi tiga pelari teratas dalam kategori junior.
Beberapa pengguna Facebook juga mengirim gambar-gambar coklat yang tarikh luputnya pada 14 November 2017.
Gerakan Pulau Pinang mendesak pentadbiran Pakatan Harapan menyelesaikan isu yang dibangkitkan pada acara tahunan yang diadakan sejak 1984.
Naib Pengerusi Gerakan negeri Oh Tong Keong pada sidang akhbar hari ini berkata kerajaan negeri tidak boleh lagi mengelak isu ini.
“Penganjuran acara itu bertambah teruk tahun demi tahun. Sejak 2014, kerajaan negeri, iaitu exco pelancongan, hanya tahu meminta maaf dan kata akan kaji masalah untuk perbaiki acara itu. Tetapi masalahnya timbul setiap tahun.
“Law juga mengelak atau lari dari tanggungjawab dengan menuding jari kepada orang lain seperti pada maraton sebelum-sebelum ini.”
Oh berkata, pada 2014, penukaran lokasi acara antara kedua-dua jambatan dikatakan berpunca daripada kurang persediaan.
Pada 2015 pula, berlaku kekurangan air minuman, dan Law menyalahkan kekurangan penaja.
Manakala pada 2016, tarikh maraton ditukar pada cuti sekolah, kata Oh.
Law mengakui kelemahan acara itu dan berjanji penganjur akan memperbaikinya.
Bagaimanapun, beliau menepis dakwaan Oh.
“Pertukaran tarikh pada tahun lepas misalnya. Ia hanya menjejaskan 10 peserta dan penganjur sudah menukar tiket penerbangan mereka,” katanya.
Law berkata Oh hanya ingin mengkritiknya.
Mengenai coklat yang sudah tamat tempoh, beliau berkata hanya melibatkan 250 daripada 35,000 coklat.
Penganjur kata Law, penganjur tersilap mengambil kotak mengandungi coklat yang sudah tamat tempoh yang kemudiannya diagihkan kepada peserta.
Law juga berkata saiz baju-T ada kaitan dengan pertukaran penganjur, iaitu dari Asics ke Brooks.
Mengenai kemelut pingat, Law menepis laporan mengatakan peserta terpaksa menunggu selama dua jam untuk mendapatkan pingat mereka.
Beliau berkata pserta menamatkan larian pada masa berbeza dan mengambil pingat di tempat yang berbeza, sehingga mungkin memberi gambaran ramai harus menunggu untuk mendapatkan pingat.
Law juga berkata sekumpulan kecil peserta larian yang tidak layak mendapatkan pingat tetap bertegas untuk mendapatkannya. – 28 November, 2017.
Komen