Perlawanan bola sepak tetap dilarang, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

MKN memberi amaran kepada mana-mana persatuan bola sepak agar tidak mengeluarkan SOP sendiri untuk membenarkan aktiviti sukan itu apabila PKPB tamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2020.

AKTIVITI sukan bola sepak masih dilarang kerana risiko berlaku jangkitan wabak Covid-19 agak tinggi melalui sentuhan fizikal yang berlaku dalam aktiviti sukan itu, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Keselamatan itu berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetap tidak membenarkan perlawanan bola sepak berlangsung walau dalam keadaan stadium tanpa penonton.

“Bola sepak ini ada dua isu. Pertama, (kehadiran) penonton, memang tak boleh. Keduanya sukan itu ada dua kategori. Sukan individu tanpa kontak fizikal, joging, badminton. 

“Tapi bola ada kontak fizikal antata pemain, bertembung sesama mereka. Badan berpeluh, pertembungan fizikal amat berbahaya,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan sama ada kerajaan sedia membenarkan liga bola sepak tempatan bersambung semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.

Ismail berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh memohon rayuan kepada kerajaan untuk melangsungkan liga bola sepak tempatan apabila PKPB ditamatkan.

Pihaknya bagaimanapun berkata, MKN akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung prosedur operasi standard (SOP) sebaik sahaja tamat tempoh PKPB.

“Apabila PKPB ditamatkan, yang kita tak tahu bila, yang kita umum tamat 9 Jun tapi kita belum tahu lagi bila tamatkan, kita perlu dapatkan nasihat KKM,” kata Ismail Sabri.

Pihaknya juga memberi amaran persatuan bola-bola sepak negeri agar tidak mengeluarkan SOP sendiri berhubung perkara itu.

“Saya harap persatuan bola sepak negeri jangan keluar SOP sendiri. MKN akan putuskan di peringkat pusat. Saya tak mahu negeri ada keluarkan arahan kebenaran. Itu menjadi kesalahan,” katanya.  – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen