BERMULA esok, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) boleh beroperasi seperti biasa seperti waktu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata bagi memudahkan orang ramai berurusan, operasi mesin berkenaan tidak lagi dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Walaupun bank beroperasi seperti biasa, kita dapati ATM masih lagi dibuka sehingga jam 8 malam walau diberi kebenaran kepada bank untuk beroperasi.
“Untuk itu, kerajaan putuskan mesin juruwang automatik yang beroperasi 8 pagi hingga 8 malam boleh beroperasi seperti biasa seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kebenaran diberikan akan bermula esok, 1 Jun bagi mudahkan orang ramai guna untuk urusan perbankan, namun penjarakan sosial kena dilaksanakan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.
Beliau juga berkata seramai 157 individu direman atas kesalahan ingkar arahan PKPB dan mengeluarkan kompaun kepada 457 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan.
Daripada sejumlah 288 kompaun yang dikeluarkan di balai polis, sebanyak satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
Sebanyak 169 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu sebanyak 144 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya.
Katanya polis juga mengeluar 80 kompaun dikeluarkan atas kesalahan cubuaan rentas negeri sepanjang arahan itu berkuatkuasa.
Kompaun paling banyak dikeluarkan di negeri Perak, untuk 42 kesalahan, diikuti Selangor dengan 32 kompaun dan juga 24 kompaun masing-masing di Johor dan Pulau Pinang atas kesalahan berkenaan.
Sepanjang tempoh itu, pihak polis juga mengenakan 147 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa sejumlah 188,844 kenderaan, katanya. – 31 Mei 2020.
Komen