Polis tentukan kebenaran rentas negeri, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran rentas negeri tidak diberikan secara automatik dan hanya akan ditentukan oleh polis bagi pengecualian yang ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2020.

PERMOHONAN masih perlu dibuat bagi kelonggaran perjalanan rentas negeri kerana secara dasarnya perjalanan berkenaan masih tidak dibenarkan, kata Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya kebenaran itu tidak diberikan secara automatik dan hanya akan ditentukan oleh polis bagi pengecualian yang ditetapkan.

“Rentas negeri tak dibenarkan tapi ada pengecualian – sakit teruk dalam kalangan keluarga, ada kematian, rentas negeri atas urusan kerja dan pasangan terpisah, atau PJJ (pasangan jarak jauh).

“Kebenaran bersyarat bukan automatik. Mesti mohon kepada polis untuk dapatkan kebenaran,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya.

Polis juga akan menentukan kebenaran permohonan perjalanan rentas negeri lebih dua orang dalam satu kenderaan bagi kakitangan syarikat, katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kebenaran empat orang dalam satu kenderaan juga terpakai untuk anggota keluarga dalam  rumah yang sama.

“Kapasiti penumpang betul (peraturan untuk) empat orang dalam satu kereta biasa, enam orang dalam kenderaan MPV.

“Tetapi semua mensyaratkan empat, enam, atau tujuh individu itu dari keluarga sama dari rumah yang sama.

“Setakat ini itulah SOP (prosedur operasi tetap). Kalau bukan rumah sama masih tak termasuk dalam peraturan dan terpulang kepada pihak polis,” kata Ismail Sabri.

Kelonggaran untuk rentas negeri itu dibenarkan semula bermula 1 Jun selepas ditarik balik semasa tempoh perayaan Aidilfitri untuk mengelak pergerakan beramai-ramai pulang ke kampung. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen