UMNO tidak mempunyai masalah dengan rakaman audio yang bocor kononnya Muhyiddin Yassin mendorong pemimpin partinya meyakinkan ahli parlimen Umno untuk melompat parti, kata Annuar Musa.
Dalam satu catatan di Twitter, bekas Setiausaha Agung Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, rakaman itu adalah masalah dalaman Bersatu dan berlaku sebelum Perikatan Nasional dibentuk.
Beliau berkata ia tidak akan mempengaruhi Umno, Barisan Nasional dan sekutunya dalam Muafakat Nasional, PAS.
“Apa pun rakaman atau versi pemberitaan yang berlaku dalam PPBM dan PH Februari lalu atau sebelumnya tidak menjadi masalah kepada Umno, BN dan Muafakat Nasional.
“Itu hal ehwal dalaman parti tersebut. Kita akan terus sokong kepimpinan PM dan tumpu kepada agenda membela rakyat. Cukuplah dengan berpolitik memanjang!,” tulisnya di Twitter.
Kenyataan itu muncul berikutan kebocoran klip audio daripada mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada 23 Februari, dalam klip itu Muhyiddin dikatakan merancang untuk memikat pemimpin Umno untuk melompat ke parti Bersatu.
Sehari selepas mesyuarat itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri.
Dalam audio tersebut, Muhyiddin memberitahu pimpinan Bersatu mampu memikat pemimpin Umno dengan menawarkan jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Sekiranya mereka tahu kerajaan baharu akan dibentuk dengan Umno, mengapa tidak memberitahu mereka untuk bergabung dengan kami sekarang dan bukannya kemudian? Saya rasa jika kita melakukan itu ... 10, 20 orang ... Najib dan gengnya ... dan kita memberi mereka jawatan ... jika tidak menteri, maka ketua GLC,” kata suara Presiden Bersatu itu dalam klip tersebut, merujuk bekas perdana menteri Najib Razak .
“Mereka mungkin tidak mahu ketinggalan. Daripada menjadi pembangkang, mereka (ingin) jadi sebahagian daripada kerajaan.”
Muhyiddin turut mendorong pimpinan partinya untuk meyakinkan ahli parlimen Umno untuk melompat parti, dengan demikian Bersatu akan menjadi parti Melayu terbesar dalam kerajaan baharu jika mereka berjaya menubuhkannya.
Selepas mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan, menyebabkan gabungan politik itu kehilangan kerajaan, Muhyiddin yang bekerjasama dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan bekas anggota parlimen PKR kemudiannya membentuk PN dan menubuhkan kerajaan baharu.
Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac. – 31 Mei 2020.
Komen