Pembangkang gesa SPRM siasat tawaran jawatan menteri, GLC pada Umno


PEMBANGKANG menggesa agensi antirasuah menyiasat dakwaan tawaran jawatan menteri dan syarikat kerajaan kepada ahli parlimen Umno untuk lompat parti.

Menurut biro undang-undang DAP, tiada keraguan bahawa tawaran yang didakwa dibuat oleh Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional itu merupakan satu bentuk sogokan.

Pengerusi biro itu Ramkarpal Singh berkata perbuatan itu jelas sekali satu kesalahan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian dengan merujuk tawaran dalam satu rakaman didakwa suara Muhyiddin Yassin, yang tersebar di media sosial semalam.

Rakaman itu, yang belum disahkan, dipercayai mengandungi ucapan dalam satu mesyuarat pimpinan bekas parti komponen Pakatan Harapan tersebut pada 23 Februari.

Peristiwa itu didakwa berlaku sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebelum Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

Sementara itu Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir juga mendesak SPRM menyiasat kerana rakaman tersebut menunjukkan terdapat usaha membeli sokongan ahli Parlimen.

“Rakaman audio tersebut turut menunjukkan bahawa rancangan membeli sokongan dari ahli Parlimen parti Umno dan mungkin juga parti lain telah disusun lebih awal sebelum pembentukan kerajaan PN.

Beliau turut mengaitkan pelantikan 70 orang menteri serta timbalan menteri dan 23 orang pengerusi GLC dan badan berkanun selepas Perikatan Nasional membentuk kerajaan.

“Tanpa sokongan 93 orang ahli Parlimen yang bersandarkan kepada ganjaran jawatan, adalah mustahil untuk PN membentuk kerajaan.

“Memandangkan isu ini melibatkan kedudukan kerajaan dan atas dasar kepentingan orang ramai, sewajarnya SPRM menjalankan siasatan dengan segera bagi mengesahkan ketulenan audio tersebut

“Sekiranya audio tersebut sah, maka mereka yang menawarkan dan menerima jawatan berkenaan wajar disiasat mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

Dalam rakaman itu, individu tersebut menyebut saranan supaya pemimpin partinya meyakinkan ahli parlimen Umno untuk melompat parti.

Rakaman itu antara lain menyebut tawaran jawatan menteri atau ketua syarikat berkaitan kerajaan boleh diberi untuk membolehkan kerajaan baharu dibentuk dengan Umno.

”Kalau dia tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’

”Kalau kita ambil seorang-seorang, mungkin ada di antara mereka terutamanya kalau mereka ada tawaran-tawaran tertentu, why not?

”Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno, 10 hingga 20 tinggal Najib dan puak-puak dia.

”Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. (Kalau) tak jadi menteri, jadi pengerusi of GLC,” rakaman itu dipetik.

Individu berkenaan seterusnya berkata, Bersatu akan menjadi parti Melayu terbesar dalam pentadbiran baru sekiranya mereka berjaya.

Kerajaan Pakatan Harapan runtuh ekoran tindakan Muhyiddin membawa Beratu keluar dari gabungan parti tersebut.

Muhyiddin kemudian bekerjasama dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan bekas anggota parlimen PKR untuk membentuk Perikatan Nasional.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu.

Muhyiddin yang kini sedang dikuarantin kerana terdedah kepada seorang individu positif Covid-19 masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan umum bagi menafikan atau mengesahkan ucapan dalam rakaman berkenaan. – 31 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen