GABUNGAN Cina Sabah menggesa kerajaan supaya menasihati Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berikutan kenyataannya bahawa ateisme tidak ada tempat di Malaysia dan bertentangan dengan perlembagaan.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, T.C. Goh berkata, kerajaan patut berpendirian tegas terhadap kenyataan Asyraf.
Tambahnya, timbalan menteri itu perlu menjelaskan sama ada kenyataannya dituju untuk Melayu atau semua rakyat Malaysia.
Khamis lalu di Parlimen, Asyraf berkata kerajaan komited melawan ateisme, yang menurutnya menolak Islam dan ajaran ahli sunnah wal jamaah.
Beliau juga berkata ateisme menyalahi perlembagaan, satu jenayah dan satu ideologi “sangat berbahaya” dan mereka yang mengamalkan ateisme boleh dikenakan undang-undang syariah, sivil dan juga alat keselamatan negara seperti Akta Hasutan.
“Kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama. Ini kerana tidak konstitusional untuk mengatakan kita boleh menyebarkan pemahaman tidak beragama di dalam konteks negara ini, freedom of religion is not freedom from religion (kebebasan beragama bukanlah kebebasan untuk tidak beragama,” katanya.
Justeru Goh berkata: “Hakikat bahawa Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan tidak menyentuh mengenai ‘kebebasan untuk tidak beragama’ bukanlah bermaksud ia tidak berperlembagaan.
“Bila Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, ia bermaksud juga kebebasan memilih untuk tidak beragama.”
Ini adalah kali kedua Asyraf menimbulkan kontroversi. Sebelum ini, beliau berkata kerajaan persekutuan komited menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. – 28 November, 2017.
Komen