Ibu bapa sempurnakan konvokesyen Universiti Cenderawasih di rumah


Majlis konvokesyen Universiti Cenderawasih di Jayapura, Papua diadakan pada Khamis lalu, melibatkan 706 graduan lulusan pelbagai peringkat daripada diploma sehingga ijazah kedoktoran bagi tahun pengajian 2019/2020. – Gambar ihsan Twitter @jayapuraupdate, 30 Mei 2020.

LEBIH 700 graduan sebuah universiti di Indonesia menyempurnakan majlis konvokesyen mereka di rumah masing-masing bersama ahli keluarga ketika wabak Covid-19 menjejaskan kebiasaan hidup, termasuk urusan pendidikan, lapor media di republik itu.

Majlis konvokesyen Universiti Cenderawasih di Jayapura, Papua diadakan pada Khamis lalu, melibatkan 706 graduan lulusan pelbagai peringkat daripada diploma sehingga ijazah kedoktoran bagi tahun pengajian 2019/2020.

Majlis itu dipancar melalui YouTube dari auditorium universiti dan diikuti secara langsung oleh graduan yang lengkap berjubah bersama keluarga di rumah, lapor Berita Satu.

“Kami melantik putera-puteri kita yang telah menyelesaikan proses akademik dengan baik, bahkan sebahagian dengan prestasi yang gemilang,” kata rektor Universiti Cenderawasi, Apolo Safanpo, seperti dipetik media.

Beliau juga memohon maaf kepada graduan terlibat kerana tidak dapat menganjurkan majlis yang sempurna seperti lazimnya untuk hari bersejarah mereka.

“Atas nama pimpinan dan segenap tenaga akademik Universiti Cenderawasih Jayapura kami menyampaikan permohonan maaf sebesar-besarnya. 

“Keputusan ini sangat berat bagi kami, tapi ini adalah jalan yang terbaik saat ini iaitu menyelesaikan upacara konvokesyen secara online tanpa mengurangi makna dan keabsahan proses konvokesyen,” katanya.

Majlis konvokesyen dalam talian adalah yang pertama dalam sejarah universiti yang didirikan pada 1962 ini.

Sementara itu, beberapa graduan turut memuat naik gambar mereka berkonvokesyen di rumah bersama-sama ahli keluarga ke media sosial.

Analis Mangguwop, lulusan kaunseling, berkata beliau gembira dan sedih, bercampur aduk, dapat meneruskan konvokesyen walaupun di rumah bersama ibu bapanya.

Selepas namanya diumumkan dalam majlis yang mereka saksikan melalui YouTube, ayahnya Ponsianus Mangguwop pemindahan tali pada topi graduasi, dari kiri ke kanan sebagai tanda mereka sudah menyelesaikan pengajian.

“Kamu telah lulus dari kuliah,” kata ayahnya, yang dilaporkan media, bangga.

Setakat hari ini, Indonesia mengesan 25,773 kes positif Covid-19 dengan 1,573 kematian. Angka ini bagaimanapun dianggap konservatif kerana hanya menguji sekitar 311,000 orang daripada 273 juta penduduknya. – 30 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen