HANYA 22% kes jangkitan babaru melibatkan rakyat Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya perkembangan positif itu disebabkan tahap kepatuhan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap prosedur operasi standard (SOP) semasa sepanjang PKP.
Beliau berkata kepatuhan sosial dan disiplin rakyat Malaysia berada pada tahap 90%.
Dr Noor Hisham berkata seminggu selepas Hari Raya, bilangan kes melibatkan rakyat Malaysia sangat sedikit seperti yang dicatatkan hari ini iaitu 10 kes jangkitan baharu dalam kalangan penduduk tempatan.
Katanya tumpuan kini bagi memastikan tahap kepatuhan yang tinggi terhadap SOP dalam kalangan pendatang asing.
“Jika berjaya, kita akan meneliti untuk membuka lebih banyak sektor,” kata Dr Noor Hisham.
Namun katanya langkah itu akan dibuat secara berperingkat dan berhati-hati serta memantau perkembangan semasa.
Katanya pembukaan sektor itu termasuk sosial, sukan dan pendidikan.
Dr Noor Hisham berkata bagi sektor pendidikan, keutamaan akan diberikan kepada pelajar tingkatan 5 dan 6 untuk menduduki peperiksaan SPM dan STPM.
“Kita akan memantau setiap hari dan berharap perkembangan baik ini akan berterusan. Memang berlaku peningkatan kes tetapi ia melibatkan pendatang tanpa izin dan pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata strategi kementerian kini tertumpu untuk menangani penularan tempatan dengan memperketatkan kawalan sempatan dan melindungi kumpulan yang mudah dijangkiti seperti orang tua dan mereka yang berpenyakit.
Beliau juga mengulangi bahawa Malaysia belum memasuki fasa akhir dan masih tertakluk kepada PKPB.
“Kita belum merancang strategi keluar seperti negara lain,” katanya. – 30 Mei, 2020.
Komen