SEBUAH pesawat Lufthansa yang membawa sekitar 200 pekerja Jerman mendarat di China pada hari Sabtu, menandakan kepulangan pertama warga Eropah sejak negara itu menangguhkan visa ekoran wabak Covid-19.
China secara drastik menghentikan penerbangan antarabangsa pada akhir Mac dan mengenakan larangan masuk ke atas kebanyakan warga asing - termasuk mereka yang mempunyai visa yang sah.
Langkah itu bagi mengelakkan kes import koronavirus dan gelombang jangkitan kedua ketika virus itu mula merebak ke luar China.
Ramai pekerja terkandas di luar negara dan tidak dapat kembali setelah meninggalkan China pada waktu puncak wabak tersebut merebak.
Penerbangan Lufthansa dari Frankfurt mendarat di lapangan terbang Tianjin, Beijing, kata syarikat penerbangan Jerman itu.
Kumpulan itu, yang terdiri daripada pekerja syarikat Jerman dan memiliki keluarga di China, disaring periksa Covid-19 setelah mereka mendarat dan perlu dikuarantin selama dua minggu.
“Kami tidak tahu sama ada pesawat akan berangkat atau tidak sehingga saat-saat akhir,” kata Alexander Ophoven sebelum berlepas.
Pesawat kedua - yang dikhaskan untuk mereka yang perlu berada di China untuk tujuan ekonomi, komersil, saintifik, teknologi, atau atas sebab kerja-kerja kemanusiaan yang mendesak - dijadualkan berlepas dari Frankfurt ke Shanghai pada 3 Jun. – AFP, 30 Mei 2020.
Komen