KEMENTERIAN Kesihatan meningkatkan kawalan keselamatan di wad setelah seorang lelaki warga Bangladesh yang menerima rawatan Covid-19 melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh.
Ketua Pengarah Kementerian Dr Noor Hisham Abdullah berkata polis berjaya menangkap lelaki itu sejurus mereka dimaklumkan pihak hospital.
Beliau berkata jururawat yang melakukan pemeriksaan rutin mendapati lelaki itu hilang dari wad.
Katanya, terdapat 26 warga asing tanpa dokumen kini sedang menerima rawatan di hospital dan mereka biasanya ditemani pegawai Jabatan Imigresen dan digari.
“Biasanya ketika mereka dimasukkan ke hospital, mereka akan ditemani pegawai Imigresen dan mereka juga akan digari di wad namun warga Bangladesh tersebut berjaya melarikan diri pagi ini,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan hari ini.
“Kami kemudian memaklumkan kepada polis dan imigresen dan kami berjaya mengesannya. Sekarang dia sudah kembali ke wad,” tambah beliau.
Noor Hisham menambah bahawa kementerian bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan untuk menyiasat bagaimana lelaki itu berjaya melarikan diri dari wad.
“Kami akan teliti bagaimana dia dapat melarikan diri ketika digari di wad,” katanya lagi.
Katanya, pendatang asing tanpa dokumen termasuk 26 orang di Sungai Buloh akan ditempatkan di Taman Pertanian Agro Malaysia di Serdang untuk rawatan di atas alasan keselamatan.
Beliau berkata bahawa hanya warganegara dan warga asing yang mempunyai dokumen undang-undang akan ditempatkan di Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
“Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita dapat meningkatkan keselamatan di MAEPS dan memastikan kita memberikan rawatan yang baik untuk mereka,” katanya.
“Ini adalah keprihatinan kami sebelum kami dapat menggunakan hospital dan kemudahan lain untuk pendatang tanpa izin,” tambahnya. – 30 Mei 2020.
Komen