MALAYSIA hari ini mencatat 30 kes baharu jangkitan Covid-19, setelah jumlahnya meningkat menjadi tiga digit semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata ini menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan berjumlah 7762 orang.
Dari kes-kes baharu yang dilaporkan hari ini, tiga kes adalah jangkitan import sementara 27 yang lain adalah penularan tempatan.
“Di antara 27 kes tempatan, 17 melibatkan warga asing sementara hanya 10 melibatkan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian hari ini.
Dr Noor Hisham turut berkata, 95 orang telah pulih dan dibenarkan pulang setakat tengah hari ini.
Ini menjadikan jumlah kes pulih keseluruhan adalah 6330 kes.
Beliau turut berkata, kes aktif Covid-19 kini berjumlah 1317 kes sementara sembilan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Tidak ada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian kekal sebanyak 115 kes. – 30 Mei 2020.

Komen