7 keluarga dipindah susulan kejadian tanah runtuh


Alfian Z.M. Tahir

Seorang anggota bomba meninjau keadaan lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay di Bukit Antarabangsa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mei, 2020.

TUJUH keluarga terpaksa dipindahkan ke lokasi selamat selepas rumah teres dua tingkat yang mereka diami di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor dilanda tanah runtuh awal pagi ini.

Tiada kematian dalam kejadian itu dan rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk tetapi pihak berkuasa mengarahkan kesemua penghuni berpindah sementara sehingga situasi kawasan itu dinilai.

Kerajaan Negeri Selangor memindahkan 40 penduduk yang terjejas ke Hotel De Palma di Ampang sehingga keadaan benar-benar selamat untuk mereka pulang ke rumah masing-masing.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pukul 2 pagi dan dipercayai berpunca akibat cuaca hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kelab Ukay Syed Zulkifli Syed Masir memberitahu The Malaysian Insight bahawa jirannya menghubunginya kira-kira pukul 2.30 pagi bagi memaklumkan tentang kejadian itu.

“Apabila saya tiba di lokasi kejadian, pihak bomba dan penyelamat sudah berada di situ,” kata Zulkifli yang tinggal di taman itu sejak 1996.

“Tanah masih bergerak dan akar pokok terkeluar akibat pergerakan tanah.

“Terdapat lubang besar di tanah. Mujur semua orang selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Rumah yang terlibat tidak rosak teruk tetapi kita masih bimbang kerana tidak selamat untuk mendiaminya,” kata Syed Zulkifli.

Seorang wanita yang enggan dikenali berkata dia mendengar bunyi kuat dari arah dapurnya dan melihat tanah bergerak.

“Saya memaklumkan jiran bahawa kejadian itu amat berbahaya,” kata wanita berusia 50 tahun itu. – 30 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen