CANSELOR Jerman, Angela Merkel tidak akan menghadiri persidangan kemuncak G7 seperti yang diusulkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika kebimbangan berhubung pandemik Covid-19 masih menyelubungi negara itu, kata jurucakap kerajaan Jerman pada hari Sabtu.
Pemimpin-pemimpin G7, yang diketuai Amerika Syarikat, telah dijadualkan untuk bermesyuarat melalui telesidang pada akhir bulan Jun setelah wabak Covid-19 menjadi pandemik.
Pertemuan itu pada mulanya dirancang untuk diadakan di Camp David, tempat percutian presiden AS di Maryland.
Bagaimanapun, Trump minggu lalu memberi isyarat bahawa beliau berupaya mengadakan perhimpunan besar itu di Rumah Putih dan sebahagian acara dilaksanakan di Camp David.
Merkel, yang juga merupakan seorang saintis telah menolak cadangan Trump tersebut.
“Berjaga-jaga dengan situasi pandemik, beliau tidak dapat menyertai persidangan dan tidak akan melakukan perjalanan ke Washington,” kata jurucakap itu, yang mengesahkan laporan laman web Politico.
“Canselor persekutuan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas jemputannya ke sidang kemuncak G7,” tambahnya.
Canselor berusia 65 tahun adalah pemimpin G7 tertua selepas Trump, yang berusia 73 tahun. Shinzo Abe dari Jepun, yang berkongsi usia dengan pemimpin Jerman itu lebih muda beberapa bulan daripada Merkel. Umur mereka menjadikan pemimpin-pemimpin tersebut berisiko tinggi untuk dijangkiti koronavirus.
Rumah Putih berkata bahawa pertemuan diplomatik itu adalah bagi menunjukkan “kekuatan” ketika ekonomi dunia kini sedang beransur-ansur pulih selepas kemuncup ekoran wabak Covid-19.
Merkel adalah pemimpin pertama yang tegas menolak untuk menghadiri acara yang dianjurkan Trump, sementara pemimpin dunia yang lain memberikan respons yang masih tidak jelas.
Komen