Kakitangan imigresen antara 385 positif Covid-19 di depoh tahanan, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Fasa pertama penghantaran pulang pendatang asing itu akan bermula pada 6 Jun yang akan dimulakan dengan tahanan warga Indonesia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

SEORANG kakitangan imigresen antara 385 yang didapati positif Covid-19 dalam saringan di depoh tahanan Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 37 lagi masih menunggu keputusan ujian saringan, katanya yang mengumumkan hasil saringan ke atas 4,807 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta pegawai dan kakitangan di depoh terlibat.

“Kesemua mereka telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Maeps, Serdang untuk rawatan.

“Seramai 26 Pati telah discaj dan dalam proses penghantaran pulang ke negara asal,” kata Ismail Sabri, ketika sidang media hariannya hari ini.

Katanya, kesemua Pati Indonesia yang akan dihantar pulang akan menjalani ujian RTK Antigen, yang mana pihak kedutaan republik itu dijemput untuk turut berada semasa ujian dijalankan.  

Ahli Parlimen Bera itu berkata, fasa pertama penghantaran pulang pendatang asing itu akan bermula pada 6 Jun yang akan dimulakan dengan tahanan warga Indonesia.

Ia melibatkan 2,189 warga Indonesia yang berada di depoh imigresen di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 672 Pati di depoh imigresen di Sabah, katanya.

“Kumpulan pertama yang melibatkan 450 Pati akan dihantar pulang dengan 3 penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun dan akan diikuti pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 Pati ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 Pati dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun.

Fasa kedua pula katanya akan melibatkan 2,623 Pati yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan.

Kata Ismail Sabri, imigresen bersama Wisma Putra kini sedang berbincang dengan kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 Pati Nepal dan 2,476 Pati Bangladesh.

“Kita juga difahamkan kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di depot tahanan Imigresen,” tambahnya

Komuniti pekerja warga asing merupakan antara lapan kumpulan sasar yang dikenalpasti sebagai golongan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. – 30 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen