Kabinet tangguh pembentangan RMK12 ke tahun depan


Ragananthini Vethasalam

Berdasarkan situasi semasa akibat Covid-19 Kabinet membuat keputusan menangguhkan pembentangan RMK12 sehingga ke Januari tahun hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 6 Ogos 2020 ditangguhkan ke Januari tahun hadapan, kata ketua setiausaha kerajaan.

Dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight Mohd Zuki Ali memberitahu ketua agensi kerajaan bahawa keputusan menangguhkan pembentangan RMK12 dibuat oleh Kabinet pada 6 Mei.

“Menurut perancangan asal dokumen RMK12 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 6 Ogos 2020.

“Walaubagaimanapun berdasarkan kepada situasi semasa termasuk ketidaktentuan berikutan pandemik Covid-19, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei 2020 memutuskan pembentangan RMK12 ditangguhkan kepada awal Januari 2021,” katanya. 

Antara sebab lain yang disebutkan ialah pembentukan kabinet baharu serta penubuhan dan penstrukturan semula kementerian pada Mac 2020.

Zuki berkata ini bagi memberi masa kepada kementerian dan agensi untuk menilai semula dasar serta strategi di bawah RMK12 agar sejajar dengan aspirasi dan dasar semasa yang menjadi tunjang serta tawaran baharu daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Sebab lain termasuk cadangan langkah penyelesaian dalam pelan pemulihan pasca Covid-19 dan anggaran kedudukan ekonomi negara dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan keadaan semasa.

Keperluan mengambil kira kedudukan fiskal terkini dan unjuran kedudukan fiskal bagi tempoh 2021-2025 disebutkan sebagai sebab keempat mengapa pembentangan ditangguhkan.

“Kedudukan fiskal perlu disemak semula dengan mengambil kira cabaran norma baharu yang bakal dihadapi pasca Covid-19.

“Kementerian Kewangan juga terus memantau perkembangan harga minyak dan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi mengimbangi kejatuhan pendapatan,” katanya.

Zuki berkata Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri akan menjalin hubungan dengan semua pihak berkepentingan dari Jun hingga Julai 2020. Ini termasuk Mesyuarat Kumpulan Perancangan Antara Agensi.

Zuki juga mendesak kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan penyediaan RMK12. – 30 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen