TURKI semalam membenarkan masjid dibuka untuk solat Jumaat, selepas lebih dua bulan kerajaan menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Ratusan jemaah yang memakai topeng muka buat pertama kali semalam menunaikan solat di luar Masjid Biru di Istanbul sejak ia ditutup pada Mac.
Di Masjid Fatih pula, jemaah menunaikan solat Jumaat di bahagian dalam dan luar masjid.
Petugas majlis perbandaran menyediakan cecair pembasmi kuman untuk jemaah dan memasang karpet pakai buang untuk mencegah jangkitan.
Selain masjid, pusat beli belah dan kedai gunting rambut juga dibenarkan beroperasi semula selepas sekatan pergerakan mula dilonggarkan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata restoran, kafe, perpustakaan dan pantai akan mula dibuka pada Isnin, namun mengingatkan rakyat perlu membiasakan diri dengan norma baharu.
Turki yang mempunyai 83 juta penduduk setakat ini melapor 162,120 kes Covid-19 dengan 4,489 kematian. – AFP, 30 Mei, 2020.
Komen